KUALA LUMPUR, 25 MEI: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan keputusan diraih pemain di bawah naungan badan induk itu pada kejohanan Masters Malaysia 2026 bukanlah seperti yang diharapkan.
Beliau berkata ketika ini alasan tidak lagi memadai dan pihak yang terlibat perlu melakukan ‘reset’ dengan memberi fokus kepada aspek asas seperti disiplin, konsistensi dan mentaliti untuk bersaing serta menang di pentas tertinggi.
"Penambahbaikan akan dilaksanakan oleh BAM termasuk memperkemas pendekatan latihan dan memperkukuh fokus untuk kejohanan akan datang,” katanya menerusi hantaran di Instagramnya hari ini.
Tengku Zafrul berkata semua pihak perlu mengambil tanggungjawab termasuk pemain, jurulatih dan pengurusan agar misi yang disasarkan dapat dicapai.
"Dalam sukan elit, nama sahaja tak cukup. Prestasi mesti konsisten. Teruskan berjuang. Kita belum selesai,” katanya.
Terdahulu tiada mana-mana wakil BAM berjaya melangkah ke final Masters Malaysia 2026 selepas pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tersingkir di peringkat separuh akhir pada Sabtu lepas.
Keputusan tersebut nyata berbeza berbanding edisi lepas apabila Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul juara selepas menewaskan rakan senegara, Aaron-Wooi Yik.
-- BERNAMA








