KUALA LUMPUR, 18 Mei: Beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2026 bermula esok hingga 24 Mei di Unifi Arena, Bukit Jalil di sini.
Perkembangan terbaharu itu disahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi hantaran di laman Facebook yang memaklumkan keputusan berkenaan dibuat susulan kecederaan yang dialami Pearly.
“BAM mengesahkan Pearly Tan menarik diri daripada Masters Malaysia 2026 akibat kecederaan belakang berulang,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Pearly turut terlepas peluang mewakili negara pada kempen Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark.
Harapan negara dalam acara beregu wanita kini disandarkan kepada pasangan muda dan pilihan ketujuh kejohanan Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Chong Jie Yu-Vanessa Ng.
Xin Yee-Carmen akan membuka kempen menentang pasangan Taiwan Hsieh Yi En-Teng Chun Hsun manakala Jie Yu-Vanessa akan berdepan Chen Yan Fei-Liang Ching Sun, juga dari Taiwan pada pusingan pertama.
Kejohanan bertaraf Super 500 itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan USD500,000 (RM1.98 juta).
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Beregu Wanita Negara Rosman Razak berkata masih terlalu awal untuk membenarkan Pearly kembali beraksi di atas gelanggang biarpun proses pemulihannya berjalan dengan baik.
Beliau berkata keputusan itu juga dicapai setelah mengadakan perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky.
“Kami tidak mahu mengambil risiko yang besar memandangkan masih banyak kejohanan utama yang bakal beliau sertai selepas ini.
“Kami memahami sentimen dan harapan tinggi untuk melihat mereka beraksi di gelanggang sendiri, namun keputusan ini dibuat demi memastikan proses pemulihan Pearly berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Rosman berkata status penyertaan Pearly-Thinaah pada Terbuka Singapura 2026 dari 26 hingga 32 Mei disusuli Terbuka Indonesia 2026 dari 2 hingga 7 Jun juga masih menjadi tanda tanya.
“Penyertaan Pearly dan Thinaah pada Terbuka Singapura serta Terbuka Indonesia juga masih bergantung kepada keadaan dan tahap kecergasan semasa Pearly,” katanya.
-- BERNAMA








