"Balik kampung ke raya ni?"
Pertanyaan ringkas daripada seorang rakan sekerja menjelang Aidiladha tidak lama lagi, hanya mampu saya sambut dengan satu senyuman sinis. Entah, saya sendiri tiada jawapan pasti. Tiada perancangan yang diatur rapi. Masakan tidak, dalam kalendar biasa, cuti yang diperuntukkan adakalanya sekadar sehari cuma.
Kami sekadar berbalas pandang, dan dalam keheningan seketika itu, kami seolah-olah saling memahami situasi dan keadaan masing-masing. Di bandar besar yang serba mencabar ini, bagi kelompok yang berstatus "makan gaji", istilah pulang ke kampung halaman bukan lagi sekadar soal menghidupkan enjin kenderaan dan memandu pulang. Ia telah bertukar menjadi sebuah pengurusan kos yang menuntut perkiraan berbintik-bintik di atas kertas, selain pergelutan masa yang sangat mencemburui.
Tahun ini, alhamdulillah, takdir Aidiladha menyebelahi kami. Kejatuhan tarikh perayaan di dalam takwim penggal cuti sekolah merupakan satu rahmat yang amat disyukuri oleh warga pendidik untuk pulang bercuti bersama keluarga yang jauh di sana. Namun, bagi sebilangan besar warga kota yang dihimpit kekangan lain, keputusan untuk kekal bertahan di celah konkrit terpaksa diambil.
Di sinilah bermulanya sebuah pemerhatian yang sering kali mengusik jiwa. Kita perlu akui, suasana sambutan Aidiladha di kota besar seperti di Selangor ini sangat kontras jika mahu dibandingkan dengan Aidilfitri.
Apabila Aidilfitri menjelma, kemeriahannya begitu terasa di mana-mana. Rumah terbuka bersilih ganti, lagu raya berkumandang, dan suasana "raya" itu hidup subur sehinggakan penghuni flat kos rendah mahupun taman perumahan mewah dapat merasai kehangatannya. Namun, mengapa apabila tibanya Aidiladha, suasananya berubah menjadi sepi sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari perkarangan masjid usai solat sunat raya?
Jalan raya lengang, pintu-pintu rumah dikunci rapat, dan langsir tidak bersingkap. Hari raya agong yang sepatutnya sarat dengan syiar bertukar menjadi fasa "rehat total". Ramai antara kita yang memilih untuk memerap di dalam rumah, melayan aplikasi penstriman, baring-baring, melepak, dan melunaskan hutang tidur. Maka tertinggilah satu persoalan di benak hati: dimanakah "perayaan" kita?
Jika kita menjenguk ke perkarangan surau atau masjid kariah, premis ibadah korban seolah-olah hanya dipenuhi oleh sekelompok manusia yang sama setiap tahun. Kelibat yang memegang pisau, melapah, memotong, dan mengagihkan daging rata-ratanya adalah dalam kalangan ahli jawatankuasa (AJK) surau, golongan pesara, atau mereka yang mengambil bahagian korban sahaja. Kelompok selebihnya ke mana?
Mahu menyalahkan warga kota sepenuhnya juga tidak adil. Kita perlu akui, kitaran hidup di bandar besar hari ini sangat memeras tenaga. Tekanan kerja dan masa yang berbaki sedikit menyebabkan hari cuti am seperti Aidiladha diposisikan dalam minda sekadar sebagai lubuk untuk 'healing' dan berehat sebelum esoknya kembali membanting tulang di pejabat.
Malah, sebahagian daripada kita bukannya sengaja enggan turun menghulurkan lengan baju. Namun, ada benteng 'segan' yang menebal dalam diri. Akibat kekangan masa yang membuatkan kita jarang dapat berjemaah pada hari biasa, timbul rasa asing atau alien untuk tiba-tiba menyelitkan diri di dalam kelompok gotong-royong. "Aku ni bukan orang kuat surau, takkan tiba-tiba nak pergi pegang pisau? Nanti apa pula kata orang," bisik hati kecil kita. Akhirnya, rasa segan itu menang, lalu kita memilih untuk menarik selimut rapat-rapat.
Namun, dalam kita mencari alasan, jangan sampai kita membiarkan budaya sepi ini menormalisasikan Aidiladha sebagai cuti biasa yang kosong. Bandar ini mungkin melahirkan ribuan manusia, tetapi ia sering kali gagal melahirkan sebuah kemanusiaan apabila kita membiarkan pagar fizikal rumah turut memagar jiwa sosial kita.
Jangan biarkan kemajuan konkrit di Selangor turut membekukan hati kita sehingga menganggap laungan gotong-royong di surau sebagai gangguan cuti rehat kita.
Di sinilah letaknya titik keindahan untuk kita saling menyambut. Keharmonian perayaan di kota sebenarnya boleh dicapai melalui sinergi yang harmoni antara institusi surau dan masyarakat setempat. Pihak pengurusan surau dan masjid sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk menerima kehadiran tenaga baharu, manakala kita selaku penduduk kariah pula perlu melangkah setapak kehadapan untuk menyambut pelawaan tersebut. Hebahan digital di dalam grup komuniti perumahan atau laungan mesra dari corong menara surau sebenarnya adalah jemputan kasih sayang, menanti kepulangan kita ke 'rumah kedua' kita di kota.
Bagi kita selaku penduduk pula, marilah kita belajar mengorbankan sedikit ego dan zon selesa kita. Mengorbankan sifat individualistik yang menebal, dan melangkah keluar menghancurkan dinding 'segan' demi menyumbang sedikit tenaga. Islam tidak pernah mendidik kita menjadi Muslim yang hidup bersendirian di dalam kepompong sendiri. Ibadah korban itu sendiri distrukturkan sebagai ibadah komunal yang memerlukan jalinan kerjasama manusia bertemu manusia, bersalaman, dan saling mengenali.
Jika kekangan kewangan dan masa menghalang sebahagian daripada kita pulang mencium tangan ibu bapa di kampung halaman, janganlah pula kekangan sikap menghalang kita daripada menghulurkan tangan membantu jiran di kota.
Jangan biarkan Aidiladha kita berlalu sepi di atas tilam yang empuk. Turunlah ke surau kariah, singsinglah lengan baju walaupun sekadar untuk membantu mengikat plastik daging atau mengagihkan air minuman. Kerana di sebalik penat lelah yang melekat di pakaian itu, ada keberkatan yang mengalir, ada pahala kemasyarakatan yang dituntut agama, dan ada sebuah ukhwah kota yang kembali mekar subur.
Sharifah Yun Othman ialah pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM Kuala Lumpur








