GOMBAK, 23 MEI: Kerajaan Selangor sedang merangka pelbagai inisiatif bagi memperkukuh pembangunan industri batik tempatan sekali gus memperkasa ekonomi kreatif negeri.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata usaha itu termasuk memperluas penyertaan usahawan sedia ada selain membuka peluang baharu kepada lebih ramai penggiat industri berkenaan.
“Kerajaan Negeri memberi fokus kepada pembangunan usahawan dalam sektor ekonomi kreatif termasuk industri batik di Selangor bagi memperkukuh ekosistem serta merancakkan pertumbuhan industri tempatan.
“Kita sedang merangka pelbagai usaha dan inisiatif bagi melibatkan lebih ramai usahawan dalam industri ini dan perinciannya akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Skim Khas Usahawan Tani Agrobank x FAMA di Pasar Tani Taman Melawati di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata Kerajaan Negeri juga dalam perancangan memperkenalkan modul kecerdasan buatan (AI) khusus untuk usahawan mengembangkan perniagaan dengan lebih berkesan.
Katanya, penggunaan AI dijangka membantu usahawan menjimatkan kos pemasaran serta meningkatkan keberkesanan strategi promosi sekali gus memberi pulangan yang lebih optimum kepada perkembangan perniagaan.
Pada 24 November lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 yang menjadi hala tuju komprehensif untuk memacu pemerkasaan ekonomi kreatif melalui pendekatan strategik, inklusif dan bersepadu.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan itu dapat mempersiapkan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif serantau, berdaya saing pada peringkat global dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan untuk rakyat.
Pelan tersebut turut merangkumi tiga sektor utama iaitu digital dan multimedia, seni dan budaya serta warisan kebudayaan yang akan memastikan pertumbuhan industri selari dengan identiti budaya serta warisan negeri.








