Program PLATS Masuk Bazar catat nilai jualan RM9.7 juta

21 Mei 2026, 12:48 PM
Program PLATS Masuk Bazar catat nilai jualan RM9.7 juta
Program PLATS Masuk Bazar catat nilai jualan RM9.7 juta
Program PLATS Masuk Bazar catat nilai jualan RM9.7 juta
Program PLATS Masuk Bazar catat nilai jualan RM9.7 juta

SHAH ALAM, 21 MEI: Program Platform Masuk Selangor (PLATS) Masuk Bazar merekodkan nilai jualan RM9.7 juta sepanjang Ramadan tahun ini, meningkat berbanding RM7 juta yang dicatatkan tahun lalu.

EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata program dengan kerjasama Agrobank itu merekodkan sebanyak 800,000 transaksi tanpa tunai melibatkan bazar Ramadan di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Jelasnya, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merekodkan nilai jualan tertinggi iaitu RM1.9 juta, diikuti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebanyak RM1.4 juta.

“Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat nilai jualan sekitar RM600,000 sepanjang tempoh penganjuran bazar Ramadan.

“Peningkatan nilai jualan ini menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai peniaga menggunakan sistem pembayaran digital dan tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang ‘Cashless’ Transaksi Bazar Ramadan Agrobank 2026 di Hotel Mardhiyyah, di sini, hari ini.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi berucap ketika Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang "Cashless" Transaksi Bazar Ramadan Selangor Agrobank dan Sesi Penutup U-Plats Digital Siri 3 (Kumpulan C) di Hotel Mardhiyah Suites, Shah Alam pada 21 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mula diperkenal pada Ramadan 2020, PLATS bertujuan melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor dan setahun kemudian, PLATS 2.0 dilancar bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.

Pada 2023 MBI turut memperkenal Kempen PLATS Masuk Pasar selama dua bulan di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dengan mengedar 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5.

Dalam perkembangan sama, Najwan berkata seramai 200 usahawan bagi setiap PBT di Selangor dipilih menyertai program U-PLATS tahun ini yang dikendalikan menerusi platform PLATS dan Selangor Youth Community (SAY).

“Mereka akan diberikan pendedahan berkaitan kemahiran serta kaedah pemasaran terkini, termasuk strategi menembusi platform media sosial bagi membantu mengembangkan perniagaan.

“Alhamdulillah, kita juga mengalu-alukan kerjasama strategik daripada rakan kongsi seperti Agrobank, Yayasan Hijrah Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap setiap program keusahawanan anjuran Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.