Kempen Internet Selamat SKMM tingkat kesedaran usahawan, elak jadi mangsa scam

11 Mei 2026, 9:29 AM
Kempen Internet Selamat SKMM tingkat kesedaran usahawan, elak jadi mangsa scam
Kempen Internet Selamat SKMM tingkat kesedaran usahawan, elak jadi mangsa scam
Kempen Internet Selamat SKMM tingkat kesedaran usahawan, elak jadi mangsa scam

AMPANG JAYA, 11 MEI: Kira-kira 80 usahawan menyertai Program Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di The Campus Ampang, hari ini, bagi meningkatkan kesedaran penggunaan internet secara selamat dalam kalangan peniaga.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerusi Platform Selangor (PLATS), yang menghimpunkan usahawan sekitar Selangor termasuk Ampang Jaya.

Koordinator PLATS, Aiman Husaini Zulzakaria berkata program itu memberi fokus kepada pendedahan keselamatan digital, khususnya bagi mengelakkan usahawan terjebak dengan penipuan dalam talian seperti scam dan phishing.

Koordinator Platform Selangor Aiman Husaini Zulzakaria ketika Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama PLATS di The Campus Ampang pada 11 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Program ini melibatkan usahawan dari sekitar Selangor termasuk Ampang Jaya bagi memberi kesedaran mengenai penggunaan internet secara selamat dalam kalangan peniaga.

“Pengisian program juga cukup menarik antaranya forum berkaitan internet selamat serta perkongsian pengalaman daripada usahawan PLATS,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Menurut Aiman, program yang julung kali diadakan itu berpotensi diperluaskan ke beberapa pihak berkuasa tempatan lain bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat pendedahan mengenai keselamatan digital.

Katanya, peniaga kini bukan sahaja berdepan risiko perniagaan biasa, malah turut terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan dalam talian yang boleh memberi kesan kepada operasi dan kewangan mereka.

“Ramai usahawan adakalanya turut menjadi mangsa penipuan seperti scam dan phishing, justeru program seumpama itu penting bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan berkaitan keselamatan digital.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan. Kami akan melihat potensi untuk mengembangkan program ini ke lokasi lain pada masa akan datang,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.