SHAH ALAM, 23 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa negeri sehingga jam 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan cuaca buruk dijangka melanda Perak membabitkan Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Amaran sama turut dikeluarkan di Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh selain beberapa kawasan di Terengganu iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Di Pahang, kawasan terlibat ialah Tanah Tinggi Cameron, Bentong, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.
Selain itu, seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor turut dijangka mengalami cuaca sama.
Di Sabah, amaran melibatkan kawasan Pedalaman seperti Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan, selain Pantai Barat, Tawau, Sandakan termasuk Kinabatangan, Beluran dan Sandakan serta Kudat.
Labuan turut berada dalam kawasan amaran berkenaan.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan lebih sejam.
Katanya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.







