SHAH ALAM, 15 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga 3 petang ini.
Menurut MetMalaysia amaran cuaca buruk itu melibatkan beberapa kawasan di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Di Selangor, kawasan terlibat ialah Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Di Negeri Sembilan, kawasan dijangka terjejas ialah Seremban, Port Dickson dan Rembau, manakala di Melaka melibatkan seluruh negeri.
Bagi Johor, kawasan terlibat ialah Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Di Sarawak pula, amaran cuaca buruk melibatkan Sibu, Mukah, Kapit serta Bintulu.
Sementara itu di Sabah, kawasan terlibat ialah Pedalaman membabitkan Nabawan, Tawau termasuk Tawau, Semporna dan Lahad Datu, selain Sandakan melibatkan Kinabatangan.
Menurut jabatan itu, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia serta media sosial agensi berkenaan.







