Agensi kewangan disaran turun padang bantu peniaga, perjelas kemudahan pinjaman kerajaan

23 Mei 2026, 4:51 AM
Agensi kewangan disaran turun padang bantu peniaga, perjelas kemudahan pinjaman kerajaan
Agensi kewangan disaran turun padang bantu peniaga, perjelas kemudahan pinjaman kerajaan
Agensi kewangan disaran turun padang bantu peniaga, perjelas kemudahan pinjaman kerajaan

GOMBAK, 23 MEI: Agensi kewangan disaran lebih proaktif turun padang membantu peniaga kecil mendapatkan akses pembiayaan dan kemudahan pinjaman kerajaan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai kemudahan pinjaman dan pembiayaan ketika ini masih kurang diketahui, selain tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan usahawan mikro dan peniaga kecil.

“Laporan Khazanah Research Institute (KRI) menunjukkan kemudahan pinjaman yang disediakan masih kurang diketahui dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar.

“Saya telah berbincang dengan agensi kewangan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank supaya turun padang memaklumkan manfaat ini kepada mereka, bukan menunggu mereka datang ke pejabat,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati, Ampang Jaya pada 23 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Khas Usahawan Tani Agrobank x FAMA di Pasar Tani Taman Melawati di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli.

Anwar berkata kerajaan turut menyediakan kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion bagi tahun 2026 yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan di seluruh negara.

Katanya, kemudahan itu melibatkan pinjaman sehingga RM100,000 dengan kadar pembiayaan bagi skim tertentu serendah empat peratus setahun bagi membantu peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro memperoleh sokongan modal yang diperlukan.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi bercakap kepada Media Selangor selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Pasar Tani Taman Melawati, Ampang Jaya pada 23 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menyambut baik inisiatif Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang turun padang meninjau sendiri keadaan serta keperluan peniaga di pasar tani.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperkukuh kerjasama dengan agensi perbankan bagi memperkasa usahawan di Selangor menerusi latihan, pembiayaan dana dan sokongan perkhidmatan.

“Memang ada keterbatasan di peringkat Kerajaan Negeri dalam beberapa aspek, justeru, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan institusi perbankan ini amat penting bagi memastikan usahawan mendapat sokongan yang lebih menyeluruh.

“Pada masa sama, usaha ini juga merangkumi akses pembiayaan, latihan serta sokongan perkhidmatan supaya pembangunan keusahawanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.