Harga terkawal, kesegaran tarik pengunjung ke pasar tani

4 Mei 2026, 4:47 AM
Harga terkawal, kesegaran tarik pengunjung ke pasar tani
Harga terkawal, kesegaran tarik pengunjung ke pasar tani

SHAH ALAM, 4 MEI: Pasar tani terus menjadi pilihan orang ramai untuk mendapatkan barangan basah, didorong oleh kesegaran produk serta harga yang masih terkawal.

Di sekitar Shah Alam, suasana pasar tani kekal meriah dengan kehadiran pengunjung yang mencari sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil kampung bagi memenuhi keperluan harian.

Bagi Muhammad Suhaimi Bidin, 62, dari Bukit Raja, pasar tani menjadi destinasi tetap kerana kemudahan mendapatkan pelbagai barangan segar pada harga yang lebih menjimatkan.

Muhammad Suhaimi Bidin, 62, bercakap kepada media ketika tinjauan di Pasar Tani Stadium, Shah Alam pada 3 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

“Kalau barang basah macam sayur dan buah, saya memang datang pasar tani sebab banyak pilihan dan lebih segar.

“Tapi untuk pembelian bulanan, saya tetap ke pasar raya sebab lebih mudah, semua ada di satu tempat,” katanya kepada Media Selangor.

Seorang lagi pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Haji Jessri, 49, berkata corak perbelanjaannya bergantung kepada keadaan kewangan semasa.

Haji Jessri, 49, berkongsi pandangan mengenai perbezaan harga barangan dapur antara pasar tani dan pasar raya ketika tinjauan di Pasar Tani Stadium, Shah Alam pada 3 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Kalau awal bulan, saya ke pasar raya. Tapi bila hujung bulan, saya pilih pasar tani sebab lebih jimat.

“Dari segi kualiti, dua-dua hampir sama, tapi ada masa ikan di pasar tani nampak lebih segar,” katanya yang juga pengurus pemasaran.

Sementara itu, Normah Musi, 57, berkata beliau memilih pasar tani untuk mendapatkan barangan segar, namun tetap mempertimbangkan pasar raya bagi mengawal perbelanjaan.

Normah Musi, 57, berkongsi pengalaman berbelanja di pasar tani ketika tinjauan di Pasar Tani Stadium, Shah Alam pada 3 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Kalau sayur dan ikan, saya pilih pasar tani sebab lebih segar. Tapi dari segi harga, kadangkala pasar raya lebih murah, jadi kena pandai bajet.

“Sejak harga barang naik, memang saya kurangkan sikit perbelanjaan,” kata pesara kerajaan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.