Dadah 'zombi' ancam remaja, pakar gesa kawalan vape

24 Mei 2026, 5:00 AM
Dadah 'zombi' ancam remaja, pakar gesa kawalan vape
Dadah 'zombi' ancam remaja, pakar gesa kawalan vape
Dadah 'zombi' ancam remaja, pakar gesa kawalan vape

SHAH ALAM, 24 MEI: Dadah sintetik fentanyl atau lebih dikenali dadah ‘zombi’ boleh menyebabkan pengguna hilang kawalan diri, bertindak agresif dan mengalami halusinasi melampau sehingga kelihatan seperti ‘mayat hidup’ akibat kesan ekstrem terhadap otak serta tubuh badan.

Ketua Program Kriminologi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azahah Abu Hassan Shaari berkata fentanyl jauh lebih berbahaya berbanding dadah konvensional kerana dihasilkan secara sintetik di makmal menggunakan campuran bahan kimia tertentu.

Beliau berkata penggunaan fentanyl terutama apabila dicampur dalam cecair vape boleh menyebabkan ketagihan serius dalam tempoh singkat selain meningkatkan risiko dos berlebihan dan kematian.

Menurutnya, kesan dadah itu terhadap fizikal dan mental pengguna amat membimbangkan kerana ada individu menjadi terlalu agresif, hilang kesedaran diri malah tidak mampu mengawal tindakan.

“Ada juga pengguna yang tubuh badannya terus ‘shut down’ sehingga kelihatan seperti tidak sedarkan diri akibat kesan dadah yang terlalu kuat,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan terhadap penularan vape dicampur bahan terlarang seperti fentanyl, ketamin dan bahan halusinogen dalam kalangan remaja.

Azahah berkata trend penggunaan dadah sintetik kini semakin membimbangkan kerana bahan terlarang itu boleh dihasilkan dengan kos murah di makmal haram sebelum diedarkan secara meluas.

Katanya, sindiket pengedaran dadah turut menggunakan pelbagai taktik termasuk mencampurkan bahan asing dalam vape bagi meningkatkan tahap ketagihan pengguna.

“Banyak dadah sintetik berada di pasaran kerana kos pembuatannya murah dan mudah dihasilkan di makmal haram.

“Pengedar pula mencampurkan pelbagai bahan asing untuk meningkatkan kesan ketagihan sehingga pengguna mengalami perubahan tingkah laku yang ekstrem,” katanya.

Beliau berkata penjualan vape mengandungi dadah juga semakin sukar dikesan kerana kebanyakan urusan dilakukan secara dalam talian tanpa transaksi fizikal.

Menurutnya, remaja menjadi golongan paling mudah terpengaruh kerana memiliki sifat ingin tahu yang tinggi serta cenderung mencuba sesuatu yang dianggap baharu dan menyeronokkan.

“Kadang-kadang pengguna sendiri tidak tahu vape yang dibeli mengandungi bahan terlarang kerana kandungannya tidak dipamerkan secara jelas,” katanya.

Azahah berkata fentanyl antara dadah paling berbahaya di dunia kerana dos yang kecil sahaja boleh menyebabkan ketagihan serius dan membawa maut akibat overdosis.

Katanya, bahan itu dianggarkan 50 hingga 100 kali lebih kuat berbanding heroin.

“Di luar negara juga terdapat kes anggota polis mengalami dos berlebihan hanya kerana terdedah kepada fentanyl asli. Sebab itu kita sangat bimbang jika bahan ini dicampur dalam vape dan dijual kepada remaja,” katanya.

Mengulas aspek penguatkuasaan, beliau berpandangan Malaysia sebenarnya mempunyai sistem kawalan yang baik namun pihak berkuasa berdepan cabaran besar apabila sindiket sentiasa mencari laluan baharu untuk mengedar bahan terlarang.

“Kalau satu laluan ditutup, mereka akan membuka laluan lain kerana sindiket bergerak sangat pantas dan kreatif,” katanya.

Beliau berkata usaha membendung penyalahgunaan dadah sintetik tidak boleh digalas pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama sekolah, ibu bapa dan komuniti.

Katanya, latihan serta pendedahan kepada guru dan ibu bapa perlu dipertingkatkan bagi membantu mereka mengenal pasti bentuk vape moden yang menyerupai peranti elektronik biasa seperti USB.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah serta pelaksanaan ujian air kencing secara berkala di sekolah berisiko tinggi bagi mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah lebih awal.

Dalam pada itu, Azahah menegaskan penyalahgunaan vape mengandungi dadah boleh memberi implikasi besar kepada negara kerana penggunaan bahan terlarang pada usia muda berisiko menjejaskan perkembangan otak, sekali gus meningkatkan masalah psikosis, keganasan dan jenayah akibat ketagihan dadah sintetik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.