SHAH ALAM, 22 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan tenaga negara masih mencukupi meskipun dunia ketika ini berdepan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Kenyataan itu susulan jangkaan bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai ini, dengan kerajaan sedang melaksanakan usaha, termasuk mendapatkan sumber tenaga dari luar negara, lapor Berita Harian.
“Insya-Allah, cukup,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Maju, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan tenaga negara dapat dilanjutkan sehingga Disember ini susulan krisis tenaga global.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata keterjaminan bekalan tenaga negara ketika ini dijangka mencukupi sehingga Julai, manakala usaha sedang dilaksanakan termasuk mendapatkan sumber dari luar negara.
Menurutnya, PETRONAS turut mendapatkan sumber bekalan termasuk dari Afrika bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga untuk rakyat.
Terdahulu, Anwar tiba di Masjid Al-Muttaqin kira-kira jam 1 tengah hari dan meluangkan masa bersalaman dengan jemaah.
Sebahagian jemaah termasuk kanak-kanak turut mengambil kesempatan mendapatkan tanda tangan dan bergambar bersama beliau.








