PM mahu diplomat Malaysia perkukuh diplomasi ekonomi, tarik pelaburan

20 Mei 2026, 3:00 PM
PM mahu diplomat Malaysia perkukuh diplomasi ekonomi, tarik pelaburan
PM mahu diplomat Malaysia perkukuh diplomasi ekonomi, tarik pelaburan

SHAH ALAM, 20 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu diplomat Malaysia terus memperkukuh diplomasi ekonomi negara khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memperluas kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata peranan ketua perwakilan diplomatik kini bukan sekadar mengurus hubungan rasmi antara negara, sebaliknya perlu memahami sejarah, budaya, sistem politik dan masyarakat setempat bagi memastikan hubungan dua hala lebih berkesan.

Menurutnya, diplomat negara juga perlu bersedia mendepani cabaran geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar dan kompleks.

“Peranan seorang diplomat menuntut lebih daripada sekadar penguasaan protokol dan hubungan rasmi antara negara hatta memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap sejarah, budaya, sistem politik serta nuansa masyarakat setempat agar setiap bentuk keterlibatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bermakna,” katanya dalam menerusi perkongsian di Facebook, malam ini.

Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal menggalas amanah mewakili negara di pelbagai rantau strategik dunia.

Beliau turut menekankan kepentingan usaha berterusan untuk membimbing dan memperkasa generasi diplomat muda supaya memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran serta kemampuan menghadapi perubahan global.

Selain itu, Anwar berkata Malaysia akan terus membawa pendekatan diplomasi yang menekankan kestabilan, tata kelola baik serta nilai kemanusiaan sejagat dalam membawa suara negara di pentas dunia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.