Isyarat PRU16 warnai Konvensyen HARAPAN

18 Mei 2026, 12:00 PM
Isyarat PRU16 warnai Konvensyen HARAPAN
Isyarat PRU16 warnai Konvensyen HARAPAN
Isyarat PRU16 warnai Konvensyen HARAPAN

JOHOR BAHRU, 18 MEI: Sorakan reformasi kembali bergema di Johor Bahru ketika ribuan penyokong dan perwakilan Pakatan Harapan (HARAPAN) memenuhi ruang Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor semalam dalam suasana yang cukup berbeza.

Di sebalik laungan semangat, tepukan gemuruh dan ucapan penuh keyakinan, jelas terasa bahawa Konvensyen HARAPAN 2026 bukan sekadar pertemuan biasa parti, sebaliknya medan menyusun kekuatan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Nada para pemimpin, gerak tubuh jentera dan mesej yang disampaikan sepanjang konvensyen seolah-olah memberi gambaran bahawa suhu politik negara kini sedang memasuki fasa lebih panas.

Hampir 10,000 perwakilan dari seluruh negara hadir dengan satu matlamat sama iaitu memastikan HARAPAN terus kekal menguasai Putrajaya dalam suasana politik yang semakin mencabar selain memerlukan kerjasama kukuh antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Malah beberapa ucapan pimpinan utama termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut memberi bayangan bahawa PRU16 mungkin lebih dekat daripada jangkaan.

Sepanjang konvensyen berlangsung, tema kestabilan politik, kesinambungan pentadbiran dan keyakinan terhadap prestasi Kerajaan MADANI menjadi antara perkara utama yang berulang kali ditekankan pimpinan parti.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Konvensyen HARAPAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru pada 17 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Anwar selaku Presiden HARAPAN dilihat cuba mengubah pendekatan defensif yang sering dimainkan pembangkang dengan menjadikan pencapaian ekonomi Kerajaan MADANI sebagai modal utama mendepani PRU16.

Antara yang diketengahkan ialah unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama sebanyak 5.4 peratus, pelaburan tertinggi dalam sejarah negara, kadar inflasi dan pengangguran rendah selain peningkatan gaji penjawat awam yang disifatkan terbesar pernah dilaksanakan.

Dalam nada lebih tegas, beliau turut mengingatkan bahawa HARAPAN tidak lagi boleh bergantung kepada sentimen semata-mata, sebaliknya perlu mempertahankan rekod pentadbiran melalui fakta dan pencapaian yang boleh dirasai rakyat.

Bayangan PRU awal mula terasa

Di sebalik penekanan terhadap prestasi kerajaan, ucapan Anwar turut memberi bayangan bahawa bahang PRU16 semakin hampir apabila beliau membangkitkan kemungkinan Parlimen dibubar lebih awal.

Kenyataan itu sekali gus menghangatkan suasana dalam dewan apabila Presiden HARAPAN itu menegaskan gabungan berkenaan tidak teragak-agak berdepan pilihan raya lebih awal sekiranya “pertempuran” politik menjadi pilihan pihak tertentu dalam kerajaan.

Nada tegas itu hadir sehari selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan parti itu mahu bergerak solo pada pilihan raya negeri, sekali gus mengundang pelbagai persepsi mengenai landskap politik menjelang pilihan raya akan datang.

Malah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turut memberi bayangan kesiapsiagaan politik apabila mencadangkan HARAPAN bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri HARAPAN Selangor Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan cabaran semasa perlu ditangani demi memastikan rakyat pelbagai kaum terus berasa selamat dan dilindungi ketika berucap pada Konvensyen HARAPAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru pada 17 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Di pentas sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri HARAPAN Selangor pula memberi penekanan terhadap cabaran politik identiti dan kaum yang semakin dimainkan pembangkang.

Beliau mengingatkan bahawa pendekatan multikulturalisme yang menjadi asas perjuangan HARAPAN perlu diterangkan dengan lebih berani supaya rakyat pelbagai kaum terus yakin terhadap agenda kerajaan.

Sementara itu, suara generasi muda turut diketengahkan apabila Timbalan Angkatan Muda Keadilan, Izuan Kasim menyifatkan konvensyen tersebut sebagai platform penting memperkukuh gerak kerja jentera terutama dalam usaha mendekati pengundi muda.

“Amanat presiden sudah jelas. Gerak kerja perlu digandakan walaupun jentera sudah bekerja sejak awal tahun. Pencapaian-pencapaian kerajaan perlu dihebah.

“Ini antara strategi untuk kita kekal tadbir. Tak boleh guna politik kebencian sebaliknya jadikan fakta sebagai senjata yakinkan masyarakat dengan pentadbiran HARAPAN,” katanya.

Secara keseluruhan, konvensyen kali ini memperlihatkan HARAPAN tidak lagi berada dalam mod bertahan, tetapi mula menggerakkan naratif lebih agresif untuk menghadapi kemungkinan pertarungan politik lebih awal serta mencabar.

Daripada nada ucapan pimpinan, mesej yang mahu dihantar cukup jelas iaitu gabungan itu mahu seluruh jentera bersedia dari sekarang, memperkukuh keyakinan rakyat terhadap prestasi kerajaan dan memastikan momentum sokongan terus kekal menjelang PRU16.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.