SHAH ALAM, 22 MEI: Pihak berkuasa masih menyiasat dakwaan kematian seorang bayi perempuan yang dipercayai dicampak dari tingkat 10 sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Johor Bahru.
Kejadian yang tular di media sosial itu mengundang pelbagai reaksi masyarakat susulan penemuan bayi berkenaan di kawasan parkir flat terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail berkata, bayi malang itu dipercayai baharu dilahirkan kerana masih bertali pusat ketika ditemukan.
Menurutnya, ibu bayi berkenaan pula didakwa berusia lingkungan 20-an.
“Difahamkan bayi malang itu dipercayai baharu dilahirkan kerana masih bertali pusat, dan ibu bayi didakwa berusia 20-an.
“Kejadian ini menyayatkan hati dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Beliau turut berharap orang ramai memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden terbabit.
Sementara itu, jurucakap polis berkata kejadian masih dalam siasatan.
Menerusi gambar dan maklumat tular, bayi berkenaan ditemukan di kawasan parkir flat berkenaan.








