Bayi lima bulan maut dalam nahas, pemandu lori didapati positif dadah

8 Mei 2026, 7:38 AM
Bayi lima bulan maut dalam nahas, pemandu lori didapati positif dadah

SHAH ALAM, 8 MEI: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut selepas kereta dinaikinya bersama ibu bapa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang dipandu lelaki positif dadah di Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa bersama ibu bapanya dalam perjalanan dari Kelantan ke Pulau Pinang sebelum kenderaan Perodua Myvi dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di hadapan simpang Kampung Sadek.

Ketua Balai Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata bayi berkenaan disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Baling akibat kecederaan parah.

Menurutnya, bapa mangsa berusia 27 tahun dan ibu berusia 41 tahun turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama.

“Pemandu lori berusia 43 tahun ditahan dan hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.32 malam dan tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Katanya, mangsa wanita dan bayi berjaya dikeluarkan orang awam, manakala pemandu kereta dikeluarkan dengan bantuan bomba.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.