EXCO: Gaji guru KAFA sedang diperinci, sasar kenaikan tahun depan

21 Mei 2026, 9:11 AM
EXCO: Gaji guru KAFA sedang diperinci, sasar kenaikan tahun depan
EXCO: Gaji guru KAFA sedang diperinci, sasar kenaikan tahun depan
EXCO: Gaji guru KAFA sedang diperinci, sasar kenaikan tahun depan

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Selangor menyasarkan pelaksanaan kenaikan gaji guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selewat-lewatnya tahun depan, tertakluk kepada kedudukan kewangan negeri.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata cadangan itu sedang diperincikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dipertimbang dalam belanjawan akan datang.

Jelas beliau, tuntutan kenaikan gaji itu telah lama disuarakan guru KAFA dan wajar diberi perhatian meskipun membabitkan implikasi kewangan yang besar.

“Perkara ini sedang diperincikan oleh JAIS dan saya akan mengangkatnya kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dimasukkan dalam belanjawan. Saya rasa tahun depan waktu paling sesuai, tertakluk kepada kekuatan kewangan kerajaan negeri,” katanya.

EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Pendidikan JAIS 2026 sempena Hari Guru Kebangsaan di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2026. Foto Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Pendidikan JAIS 2026 sempena Hari Guru Kebangsaan di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Mohammad Fahmi berkata, anggaran awal kos pelaksanaan kenaikan gaji itu mencecah kira-kira RM27 juta, termasuk hampir RM20 juta melibatkan guru KAFA di bawah skim negeri.

Katanya, daripada kira-kira 7,000 guru agama di Selangor, seramai 4,800 berada di bawah skim negeri manakala selebihnya dibiayai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil kira cabaran ekonomi semasa termasuk tekanan inflasi dan kenaikan harga barang sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Kalau kita dapat tangani perkara tersebut dan pada masa sama menyediakan sedikit kemudahan kepada guru-guru dari segi kenaikan gaji, kita akan cuba usahakan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.