SEPANG, 21 MEI: Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstremis Israel, Itamar Ben-Gvir bersama tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) yang didakwa melakukan kekerasan fizikal, tekanan mental dan ugutan terhadap aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata tindakan berkenaan bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, tindakan tersebut juga melanggari Statut Rom di bawah Perkara 8(2)(a)(ii) atau 8(2)(c)(i), yang menyatakan tindakan menyeksa, memukul, atau melayan tahanan termasuk aktivis yang ditahan secara tidak berperikemanusiaan dikategorikan sebagai pelanggaran berat Konvensyen Geneva.
“Tindakan ini memperlihatkan wajah sebenar rejim apartheid yang terus bertindak di luar batas kemanusiaan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Misi GSF 2.0, di sini, hari ini.
Sebelum ini tular video yang dimuat naik Ben-Gvir di media sosial yang menunjukkan aktivis ditahan dengan tangan diikat dan dipaksa berlutut selepas ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.
Semalam, SNCC mengesahkan kesemua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan daripada 40 negara, telah dipintas IOF di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.
Sani Araby berkata kenyataan bercanggah daripada beberapa pimpinan Israel terhadap tindakan Itamar Ben Gvir itu membuktikan wujud perpecahan dalaman dalam rejim tersebut.
“(Ini) apabila Benjamin Netanyahu, bersama menteri luar dan duta israel ke Amerika Syarikat menyatakan bahawa tindakan Itamar Ben-Gvir itu tidak selari dengan nilai Israel, memudaratkan serta disifatkan sebagai tindakan cuai,” katanya.
Beliau berkata SNCC turut menerima maklumat yang turut disiarkan akhbar Israel bahawa sebahagian aktivis yang diculik dijangka dipindahkan ke Penjara Ketziot, di negara itu dalam masa terdekat.
“Pasukan guaman Sumud Nusantara iaitu Centre For Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) dengan kerjasama counterpart The Legal Center for Arab minority Right (ADALAH) yang berpusat di Haifa, telah bersedia di pelabuhan Ashdod.
“(Mereka) mengesahkan bahawa aktivis kemanusiaan flotilla termasuk rakyat Malaysia berada dalam keadaan stabil dan sedang menunggu kebenaran untuk bertemu,” katanya.
Dalam pada itu, Sani Araby berkaya SNCC mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 87 aktivis yang sedang diculik dan ditahan di Pelabuhan Ashdod telah melancarkan mogok lapar berskala besar.
“Ia sebagai tanda bantahan terhadap penahanan haram, layanan tidak berperikemanusiaan serta pencabulan hak asasi yang dilaksanakan oleh pihak rejim israel ke atas aktivis kemanusiaan flotilla,” katanya.
-- BERNAMA







