ISTANBUL, 20 MEI: Israel memindahkan aktivis yang ditahan daripada flotila bantuan ke Gaza ke Pelabuhan Ashdod selepas menyerang dan memintas konvoi berkenaan di perairan antarabangsa, menurut kumpulan hak asasi manusia Adalah pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, Adalah memaklumkan peserta Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk "aktivis perpaduan antarabangsa, pembela hak asasi manusia dan sukarelawan perubatan," dibawa ke Pelabuhan Ashdod selepas "pemintasan tentera Israel yang menyalahi undang-undang."
“Setelah belayar ke Gaza untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan mencabar sekatan yang menyalahi undang-undang, peserta awam ini diculik secara paksa dari perairan antarabangsa dan dibawa masuk ke wilayah Israel sepenuhnya tanpa kehendak mereka,” tambahnya.
Menurut Adalah, maklumat mengenai keberadaan aktivis yang ditahan, status undang-undang mereka, dan kesejahteraan fizikal adalah "terhad".
-- BERNAMA-ANADOLU
TAG: Gaza, flotila bantuan, aktivis







