Budaya buang sampah, tandas kotor cemari usaha lahir generasi cemerlang

20 Mei 2026, 9:13 AM
Budaya buang sampah, tandas kotor cemari usaha lahir generasi cemerlang

SHAH ALAM, 20 MEI: Budaya membuang sampah di bawah meja dan keadaan tandas sekolah yang kotor disifatkan mencemar usaha melahirkan pelajar cemerlang serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata aspek kebersihan sekolah tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia mencerminkan disiplin, sikap dan tahap kesedaran pelajar terhadap persekitaran mereka.

Menurutnya, kecemerlangan akademik perlu bergerak seiring dengan pembentukan budaya bersih dan bertanggungjawab dalam kalangan warga sekolah.

“Kalau sekolah mahu capai kecemerlangan akademik, kebersihan juga perlu dijaga termasuk tandas dan kawasan dalam kelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kempen Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku (KBKD) 4.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang, Hulu Langat, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang, Hulu Langat sempena Majlis Penutupan Kempen Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku (KBKD) 4.0 pada 20 Mei 2026. Foto FAIZ DANIAL/MEDIA SELANGOR

Program bertemakan Kendiri, Persekitaran Lestari MADANI itu merupakan kesinambungan inisiatif pendidikan kebersihan yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar di seluruh DUN Kajang.

Selain memupuk budaya menjaga kebersihan, kempen berkenaan turut memberi pendedahan berkaitan amalan kitar semula, keselamatan, kesejahteraan serta nilai kepimpinan dan semangat cintakan negara.

Dalam pada itu, David berkata, program itu juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI khususnya dalam aspek kesejahteraan dan ihsan.

“Perubahan perlu dilaksanakan segera demi kesejahteraan bersama dan masa depan Kajang yang lebih bersih serta selesa,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.