Bayi tujuh bulan meninggal dunia ketika tidur di rumah pengasuh

20 Mei 2026, 7:47 AM
Bayi tujuh bulan meninggal dunia ketika tidur di rumah pengasuh

SHAH ALAM, 20 MEI: Bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia ketika sedang tidur dalam buaian di sebuah rumah pengasuh di Bandar Sri Sendayan, Seremban pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 10 malam selepas ibu bapa mangsa dimaklumkan pengasuh bahawa bayi terbabit tidak sedarkan diri.

Menurutnya, bayi berkenaan kemudian dibawa ke sebuah klinik swasta berhampiran Bandar Sri Sendayan sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

“Pengadu memaklumkan menerima panggilan daripada pengasuh anak lelakinya yang memberitahu bayi berusia tujuh bulan itu tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata doktor yang bertugas di HTJ dilaporkan berusaha melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) terhadap bayi terbabit.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia selepas usaha menyelamat tidak berjaya.

Azahar berkata hasil siasatan awal mendapati bayi terbabit dijaga oleh pengasuh berkenaan sejak Disember 2025.

“Ketika kejadian, pengasuh dipercayai menidurkan bayi itu di dalam buaian dengan mulutnya diberikan puting jenis silikon,” katanya.

Menurut beliau, mayat bayi itu dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.

Tambahnya, pengasuh terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.