Bayi lelaki dibalut kain ditemukan di laluan pejalan kaki

13 Mei 2026, 1:56 AM
Bayi lelaki dibalut kain ditemukan di laluan pejalan kaki

SEMPORNA, 13 MEI: Bayi lelaki berusia dua bulan ditemukan orang awam dalam keadaan dibaluti kain selepas ditinggalkan di laluan pejalan kaki di hadapan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Tan Hiap Wah berkata bayi lelaki seberat tiga kilogram itu ditemukan kira-kira 7 pagi sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, dan disahkan berada dalam keadaan sihat.

“Bayi itu masih berada di bawah pemantauan pihak hospital sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata seorang wanita warga asing berumur 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dengan niat membuangnya.

“Hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya boleh dikenakan jika didapati bersalah,” katanya.

Tan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor J Munnesh melalui talian 012-9922566 atau ke balai polis berhampiran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.