Tiada kes Ebola di Malaysia, KKM perketat saringan di pintu masuk negara

20 Mei 2026, 2:49 AM
Tiada kes Ebola di Malaysia, KKM perketat saringan di pintu masuk negara

SHAH ALAM, 20 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kes Ebola direkodkan di negara ini setakat ini, namun kawalan di pintu masuk antarabangsa diperketat susulan penularan wabak maut itu di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda.

KKM memaklumkan pemantauan rapi sedang dijalankan terhadap pengembara dari kedua-dua negara berkenaan, termasuk mereka yang transit di hab penerbangan utama seperti Dubai, Doha dan Singapura sebelum memasuki Malaysia.

“Buat masa ini tiada penerbangan terus dari DRC dan Uganda ke Malaysia, namun saringan dan pemantauan kesihatan terus diperkukuh sebagai langkah pencegahan awal,” menurut kenyataan kementerian hari ini.

Menurut KKM, semua pintu masuk antarabangsa termasuk lapangan terbang dan pelabuhan kini berada dalam mod kesiapsiagaan tinggi bagi mengesan sebarang simptom berkaitan Ebola.

Fasiliti kesihatan di seluruh negara turut dipersiapkan untuk pengesanan awal, pengasingan dan pengurusan kes disyaki, selain memastikan pematuhan ketat langkah Pencegahan dan Kawalan Jangkitan (IPC).

KKM turut memastikan bekalan alat perlindungan diri (PPE) mencukupi dan latihan petugas kesihatan dipertingkat, selain memperkukuh kapasiti diagnostik makmal melalui kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).

Ebola ialah penyakit berjangkit serius yang boleh membawa maut dan merebak melalui kontak langsung dengan darah atau cecair badan individu atau haiwan dijangkiti. Antara simptom utama ialah demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, muntah, cirit-birit dan pendarahan.

Sehubungan itu, individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terjejas diminta segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom berkenaan dalam tempoh 21 hari selepas pulang.

Pada 17 Mei lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Ebola di Afrika Tengah sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).

WHO memaklumkan sehingga 16 Mei, sebanyak lapan kes Ebola disahkan makmal, 246 kes disyaki dan 80 kematian disyaki direkodkan di wilayah Ituri, DRC.

Selain itu, dua kes disahkan termasuk satu kematian turut dilaporkan di Kampala, Uganda membabitkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari DRC.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.