Congo catat 13 kes Ebola varian Bundibugyo, WHO belum ada vaksin

16 Mei 2026, 10:23 AM
Congo catat 13 kes Ebola varian Bundibugyo, WHO belum ada vaksin

KINSHASA, 16 MEI: Dalam penularan baharu virus Ebola berbahaya di Republik Demokratik Congo (DRC), sebanyak 13 kes varian Bundibugyo yang jarang ditemukan telah disahkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik agensi kesihatan Afrika, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) pada Sabtu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika ini tidak mempunyai vaksin yang diluluskan bagi strain Bundibugyo. Africa CDC berkata penularan terdahulu penyakit yang mengancam nyawa itu kebanyakannya melibatkan virus Ebola Zaire, iaitu strain paling lazim.

Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) (NIH), varian Bundibugyo mempunyai kadar kematian lebih rendah iaitu sekitar 37 peratus, berbanding strain Zaire yang boleh mencatat kadar kematian sehingga 90 peratus.

Africa CDC berkata setakat ini empat kematian disahkan di wilayah Ituri di timur laut DRC yang bersempadan dengan Uganda dan Sudan Selatan. Di Uganda yang berjiran, satu kematian turut disahkan dengan varian Bundibugyo turut dikesan.

Menurut Africa CDC, ketika ini terdapat 246 kes disyaki dan 65 kematian dilaporkan di DRC. Jangkitan tempatan di Uganda pula setakat ini belum disahkan.

Ini merupakan penularan Ebola ke-17 di DRC sejak 1976.

WHO, selepas menerima petunjuk awal kemungkinan kes pada awal Mei, menghantar pakar ke kawasan terjejas dan menyediakan bantuan US$500,000 bagi langkah segera.

Africa CDC berkata pihaknya bimbang terhadap risiko penularan lanjut virus itu kerana wabak semasa berlaku di kawasan sempadan bandar dengan pergerakan penduduk yang tinggi.

Pihak berkuasa berkata mereka telah memperketat pemeriksaan di sempadan, mengasingkan kontak rapat dan menggerakkan pasukan kecemasan di kawasan berisiko.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.