Hijrah Selangor perkasa usahawan dengan latihan digital, kewangan

21 Mei 2026, 6:00 AM
Hijrah Selangor perkasa usahawan dengan latihan digital, kewangan
Hijrah Selangor perkasa usahawan dengan latihan digital, kewangan
Hijrah Selangor perkasa usahawan dengan latihan digital, kewangan

SHAH ALAM, 21 MEI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) kini bukan sekadar menyediakan pembiayaan kepada usahawan mikro, sebaliknya turut memperkasa golongan itu dengan latihan pengurusan digital dan kewangan.

Ketua pegawai perniagaannya, Nilammasri Jaafar berkata pendekatan berkenaan penting susulan masih ramai usahawan tidak memiliki asas kukuh dalam ilmu perniagaan.

Menurutnya, sebahagian besar usahawan mikro masih kurang memahami literasi kewangan asas termasuk pengurusan penyata bank, merekod transaksi dan menyimpan rekod perniagaan dengan baik.

“Kami percaya bahawa menyediakan pembiayaan sahaja tidak menyelesaikan masalah. Mereka perlu dilengkapi dengan pengetahuan seperti pembungkusan, penjenamaan, pemasaran digital dan penyimpanan rekod kewangan.

“Ada yang langsung tidak mempunyai sejarah kredit, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan pembiayaan daripada bank,” katanya kepada Media Selangor.

Susulan itu, Nilammasri berkata Hijrah Selangor mempergiat latihan keusahawanan dan pendigitalan sejak dua tahun lalu bagi membantu usahawan menyesuaikan diri dengan trend perniagaan semasa.

Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) Nilammasri Jaafar ketika ditemui di pejabat Hijrah Selangor di Seksyen 7, Shah Alam pada 15 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASEANGOR

Katanya, antara program latihan percuma yang ditawarkan termasuk jualan langsung menerusi TikTok, pemasaran digital, penjenamaan, perakaunan serta bengkel pengurusan kewangan yang dikendalikan tenaga pengajar bertauliah.

Menurut beliau, Hijrah Selangor turut bekerjasama dengan rakan pembiayaan strategik bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan sekiranya mereka mempunyai rekod bayaran balik yang baik.

Beliau berkata antara inisiatif berkenaan termasuk kerjasama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk menghubungkan usahawan berpotensi kepada platform pembiayaan lebih besar seperti rakan setara (peer-to-peer), penyedia fintech dan institusi kewangan pembangunan.

Katanya, ada juga segelintir usahawan yang berulang kali memohon pembiayaan daripada Hijrah Selangor meski sudah melepasi kategori mikro, sekali gus golongan ini akan dikembangkan kepada pembiayaan lebih besar melebihi had RM50,000.

"Kami mengenal pasti pelanggan yang mempunyai rekod pembayaran balik yang baik dan berpotensi dalam perniagaan, kemudian kita memperkenalkan mereka kepada platform pembiayaan yang boleh berkembang lebih jauh," katanya.

Selain pembiayaan dan latihan, Hijrah Selangor turut menyediakan anugerah kisah kejayaan dan bantuan geran untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan, membuka peluang pekerjaan dan menjadikan perniagaan lebih stabil.

Sejak ditubuhkan pada 2015, agensi itu membantu hampir 90,000 usahawan yang layak memohon pembiayaan sehingga RM50,000.

Sehingga April tahun ini, Hijrah Selangor menyalurkan RM12.5 juta pembiayaan kepada 657 usahawan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.