SHAH ALAM, 21 MEI: Kira-kira 60 peratus wanita daripada lebih 62,000 peminjam Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menceburi perniagaan kecil-kecilan sejak 2015 susulan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Ketua Pegawai Perniagaannya, Nilammasri Jaafar berkata kebanyakan wanita aktif dalam perusahaan mikro terutama perniagaan makanan, peruncitan dalam talian dan sektor berasaskan perkhidmatan.
Jelas beliau, ramai wanita menceburi bidang perniagaan bukan semata-mata atas pilihan sendiri, sebaliknya bagi membantu menambah pendapatan isi rumah.
“Sejak Hijrah Selangor ditubuhkan pada 2015, kami telah membantu hampir 62,000 usahawan dan 60 peratus daripada mereka ialah wanita.
“Bagi saya, wanita kini semakin mencari jalan meningkatkan pendapatan isi rumah. Suami mungkin bekerja, tetapi ia masih tidak mencukupi. Apabila kos sara hidup meningkat, satu sumber pendapatan sahaja mungkin tidak memadai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual bersama Media Selangor di ibu pejabat Hijrah Selangor, baru-baru ini.

Nilammasri berkata perkembangan media sosial seperti TikTok dan Instagram turut membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk berniaga dari rumah berbanding sebelum ini yang lebih tertumpu kepada premis fizikal.
Katanya, usahawan wanita muda terutama dalam kalangan generasi Z semakin aktif memanfaatkan sesi siaran langsung di TikTok dan platform dalam talian tanpa memerlukan kedai fizikal.
“Anda akan terkejut, ada pelanggan kami yang baru berusia 24 atau 25 tahun tetapi sudah mempunyai ratusan ribu ringgit dalam akaun bank hanya dengan menjual tudung secara dalam talian.
“Mereka bermula ketika di universiti dan menggunakan platform seperti Instagram dan TikTok. Mereka tidak lagi memerlukan kedai fizikal,” katanya.
Tambah beliau, majoriti usahawan wanita di bawah pembiayaan Hijrah Selangor menjalankan perniagaan makanan, diikuti fesyen dalam talian, spa, pusat jagaan kanak-kanak, restoran dan peruncitan kecil.
“Perniagaan makanan paling mudah dimulakan dan berkembang dengan pantas. Saya percaya kira-kira 60 peratus terlibat dalam jualan makanan,” katanya.

Hijrah Selangor ialah agensi Kerajaan Negeri yang ditubuhkan bagi menyediakan pembiayaan mikro kredit kepada perniagaan kecil.
Usahawan boleh memohon pembiayaan sehingga RM50,000 menerusi agensi itu, dengan jumlah kelulusan tertakluk kepada jenis skim, kelayakan pemohon dan penilaian profil perniagaan.
Membina perniagaan berdaya tahan
Dalam pada itu, Nilammasri berkata usahawan wanita juga menunjukkan disiplin tinggi dalam pembayaran balik pinjaman sepanjang dua tahun kebelakangan ini, sekali gus mendorong Hijrah Selangor memperluas inisiatif pembiayaan khusus untuk golongan berkenaan.
Antara lain, Hijrah Selangor telah memperkenalkan SuriPlus, iaitu skim pembiayaan yang disesuaikan khusus untuk usahawan wanita di kawasan luar bandar bagi memberi mereka peluang serta akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti, sekali gus meningkatkan kemahiran perniagaan mereka
Nilammasri berkata program SuriPlus bukan sahaja menggalakkan disiplin pembayaran balik dan sokongan rakan sebaya, malah memberi peluang pembiayaan kepada wanita yang mempunyai rekod kewangan terhad.
Bagaimanapun, katanya usahawan mikro turut memerlukan latihan dan pendedahan berterusan bagi memastikan perniagaan dapat berkembang secara mampan.
“Mereka perlu dilengkapi dengan pengetahuan seperti pembungkusan, penjenamaan, pemasaran digital dan penyimpanan rekod kewangan,” katanya.
Beliau berkata Hijrah Selangor bukan sekadar menyediakan pinjaman, malah membantu usahawan mengembangkan perniagaan menerusi latihan, pendedahan dan kerjasama strategik dengan institusi kewangan serta agensi pembangunan.
Agensi itu turut menjalankan latihan keusahawanan dan pendigitalan secara berkala termasuk jualan siaran langsung di TikTok, strategi pemasaran dalam talian serta program celik kewangan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Telekom Malaysia.









