SHAH ALAM, 19 MEI: Kes kecurian kabel di Selangor dilihat semakin serius apabila turut menjejaskan operasi sistem di Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sri Muda sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah RM200,000.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata, kejadian berulang itu bukan sahaja membabitkan kos penggantian yang tinggi, malah memberi kesan besar terhadap kelancaran operasi fasiliti tebatan banjir.
Menurutnya, isu berkenaan sudah dibincangkan bersama polis Selangor bagi mencari kaedah penyelesaian lebih berkesan memandangkan kejadian kecurian kabel semakin menjadi-jadi.
“Kejadian kecurian kabel ini sangat serius dan kita sudah berbincang dengan polis Selangor untuk mencari kaedah penyelesaian kes ini.

“Fenomena ini semakin menjadi-jadi dan memberi kesan besar kepada Kerajaan Negeri, bukan hanya kos nak mengganti tetapi turut menjejaskan operasi RTB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau projek RTB Anak Sungai Damansara di sini hari ini.
Jelas Ir Izham, fenomena berkenaan disifatkan semakin menjadi-jadi sehingga menjejaskan kelancaran operasi fasiliti terbabit, terutama apabila bekalan elektrik terganggu.
“Kalau tiada elektrik, sistem di RTB tidak dapat berjalan lancar seperti biasa,” katanya.










