SHAH ALAM, 4 MEI: Sekumpulan lelaki diburu polis selepas disyaki mencuri kabel menggunakan kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Seksyen 2 di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian dikesan selepas rakaman video memaparkan kumpulan lelaki itu tular di media sosial.
Beliau berkata, satu laporan polis dibuat saksi lelaki berusia 60-an yang juga penduduk kawasan terbabit, manakala jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Usaha mengesan dan menangkap suspek giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436.
“Selain itu, mereka yang melihat individu mencurigakan atau sebarang aktiviti mencuri kabel diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Hotline Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202032,” ujarnya.








