SHAH ALAM, 18 MEI: Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan 41 kapal flotilla termasuk yang membawa 21 rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju ke Gaza.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pelayaran diteruskan dalam keadaan risiko keselamatan yang sangat tinggi susulan ancaman pemintasan, gangguan dan tindakan agresif berterusan dari tentera laut rejim Zionis Israel (IOF).
"SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotilla dan akan terus menyalurkan kemas kini dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan serta pergerakan flotilla.
"Masyarakat antarabangsa, badan hak asasi manusia dan komuniti maritim diseru memberi perhatian serius terhadap tindakan intimidasi dan ancaman keselamatan yang dihadapi oleh misi kemanusiaan awam ini di perairan antarabangsa," katanya menerusi kenyataan.
Setakat 8 malam Waktu Malaysia, SNCC mengesahkan sembilan kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang dinaiki 16 rakyat Malaysia telah dipintas IOF.
SNCC berkata kapal mereka dihampiri secara agresif oleh IOF ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Ketika insiden intimidasi berlaku, flotila berada di kedudukan kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa yang diiktiraf di bawah undang-undang maritim seperti termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) dan berada di luar kawasan sekatan mana-mana negara.
Antara rakyat Malaysia yang ditahan IOF ialah Zainal Rashid Ahmad (menaiki kapal Amanda), Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella) serta Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus).
Turut ditahan S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Dr Syakirin Muhamed Senin (Ferluto), Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari (Bianca ITA), Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim (Gotico) serta Norazman Ishak (Abodes).
Selain itu, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa dan Osman Zolkifli (Themis) serta Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef).
Terdahulu, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel memintas GSF 2.0 ke Gaza dan menahan lebih 100 aktivis termasuk 16 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi aman membela kemanusiaan sejagat.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menuntut jaminan keselamatan dan pembebasan segera kesemua aktivis.








