Dalam dunia yang sering melaungkan soal keadilan dan hak asasi manusia, Palestin kekal sebagai salah satu ujian paling jelas terhadap konsistensi moral masyarakat antarabangsa.
Setelah lebih tujuh dekad berlalu, krisis tersebut masih belum menemui penyelesaian politik yang bermakna.
Perhatian baharu terhadap flotila kemanusiaan muncul ketika dunia semakin mempersoalkan akses bantuan ke Gaza, kebuntuan diplomatik yang berpanjangan serta kekecewaan awam terhadap keterbatasan institusi antarabangsa dalam menangani penderitaan kemanusiaan.
Pergerakan ini mencerminkan corak kebangkitan mobilisasi awam yang lahir daripada rasa kecewa terhadap kelemahan diplomasi dan meningkatnya keraguan terhadap keberkesanan institusi global.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dato’ Dr Sivamurugan Pandian berkata, Global Sumud Flotilla (GSF) mencerminkan kedudukan geopolitik Palestin yang terus menjadi garis pemisah moral dan politik dalam hubungan antarabangsa.
“Global Sumud Flotilla memperlihatkan bagaimana isu Palestin terus menjadi titik pertikaian moral dan politik di peringkat antarabangsa.
"Ia mencerminkan rasa kecewa terhadap kebuntuan diplomatik serta menunjukkan bagaimana gerakan masyarakat sivil kini tampil mencabar apa yang dianggap sebagai kegagalan kerajaan dan institusi antarabangsa bertindak,” katanya.
Tekanan rakyat sememangnya telah lama mempengaruhi hala tuju dasar luar dan keputusan politik antarabangsa.
Ketika Perang Vietnam, gerakan bantahan anti perang di Amerika Syarikat mula mendapat perhatian besar sekitar tahun 1965 dan berkembang ke kampus universiti, kumpulan masyarakat sivil, gereja, gerakan hak asasi serta rangkaian veteran perang.
Walaupun gerakan tersebut bukan sebuah institusi kerajaan, ia berjaya mempengaruhi pandangan awam, mencabar ahli politik dan meningkatkan kos politik untuk meneruskan peperangan tersebut.
Penentangan rakyat tidak menamatkan Perang Vietnam secara langsung, namun ia menjadi sebahagian daripada tekanan politik yang akhirnya memaksa pemimpin menilai semula pendekatan mereka.
Presiden Richard Nixon kemudiannya memperkenalkan dasar “Vietnamisasi” yang menyaksikan pengunduran berperingkat tentera Amerika Syarikat sambil memindahkan tanggungjawab ketenteraan kepada Vietnam Selatan.
Walaupun konteksnya berbeza, contoh tersebut memperlihatkan bagaimana mobilisasi awam yang berterusan mampu mempengaruhi suasana politik dan pertimbangan dasar luar sesebuah negara.
GSF bukan misi kemanusiaan semata-mata sebaliknya gerakan kebangkitan rakyat
Dalam konteks ini, GSF tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai misi kemanusiaan, tetapi sebagai sebahagian daripada corak kebangkitan gerakan rakyat yang muncul ketika diplomasi formal dilihat semakin lemah dan terbatas.
Kepentingannya terletak pada keupayaannya mengekalkan perhatian antarabangsa terhadap Palestin pada saat ramai melihat tindak balas diplomatik rasmi semakin tidak memadai.
Pembingkaian naratif terus menjadi elemen utama dalam menentukan bagaimana konflik moden difahami di peringkat global.
Angka dan statistik mungkin memberi maklumat, tetapi kisah kemanusiaanlah yang membangkitkan empati dan sokongan yang berkekalan. Apabila penderitaan diterjemahkan melalui pengalaman sebenar, wajah dan suara rakyat biasa, sesuatu krisis menjadi lebih sukar untuk diabaikan.
Prof Sivamurugan berpandangan bahawa gerakan masyarakat sivil seperti GSF memainkan peranan semakin penting dalam membentuk naratif mengenai krisis kemanusiaan global.
Menurut beliau, gerakan seperti ini membantu memanusiakan konflik, memperluaskan perhatian antarabangsa serta menggerakkan jaringan advokasi rentas sempadan. Dalam masa sama, ia meningkatkan tekanan politik terhadap kerajaan yang dilihat pasif terhadap penderitaan kemanusiaan yang berlarutan.
Perubahan ini amat signifikan dalam landskap media hari ini apabila persepsi awam tidak lagi dibentuk sema-mata melalui saluran diplomatik rasmi atau naratif negara.
Platform digital, mobilisasi rakyat dan jaringan solidariti rentas negara kini memainkan peranan besar dalam menentukan bagaimana krisis global difahami, diperdebatkan dan diberi tindak balas oleh masyarakat antarabangsa.
Dalam perkembangan ini, sokongan terhadap Palestin semakin melangkaui batas blok politik, identiti agama dan geografi. Ia kini melibatkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, generasi dan budaya.
Sokongan akar umbi yang semakin meluas ini mencerminkan peralihan ke arah gerakan yang lebih bersifat desentralisasi dan dipacu oleh rakyat biasa. Peranan gerakan rakyat ini turut menggambarkan kebimbangan yang lebih mendalam terhadap keadaan tadbir urus global itu sendiri.
Bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berpendapat bahawa gerakan kemanusiaan seperti GSF menjadi semakin penting ketika banyak kerajaan dilihat semakin kurang bertanggungjawab terhadap persoalan keadilan, kemanusiaan dan undang undang antarabangsa.
Menurut beliau, demokrasi pada hari ini sering dipertahankan lebih sebagai konsep berbanding diamalkan secara konsisten, manakala kecenderungan autoritarian terus mempengaruhi tindak balas politik di banyak negara.
Dalam suasana ini, beliau menegaskan bahawa organisasi kemanusiaan dan platform masyarakat sivil perlu menjadi lebih tegas supaya krisis kemanusiaan seperti Palestin tidak dilupakan atau dinormalisasikan melalui sikap berdiam diri.
“Badan seperti Global Sumud Flotilla amat penting kerana tanpa tekanan kemanusiaan yang berterusan, perjuangan ini berisiko tenggelam daripada perhatian dunia. Kita perlu membina naratif baharu supaya suara kita didengari,” katanya.
GSF juga telah berkembang melangkaui bentuk protes konvensional. Selain misi flotila itu sendiri, ekosistem gerakan ini kini melibatkan penglibatan parlimen, advokasi awam, wacana perundangan, mobilisasi media dan koordinasi masyarakat sivil antarabangsa.
Kongres Parlimen Global Sumud di Brussels pada 22 April 2026 meletakkan gerakan tersebut dalam landasan politik yang lebih luas dengan menekankan isu akses kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan tekanan parlimen.
Antara tuntutan utama yang diketengahkan ialah sokongan terhadap koridor maritim kemanusiaan ke Gaza yang disahkan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
GSF bukan sekadar kapal tetapi mesej dibawa
GSF 2.0 kini semakin memperlihatkan dirinya sebagai gerakan berlapis yang menggabungkan mobilisasi maritim, penglibatan parlimen, advokasi undang-undang, pengaruh media serta jaringan solidariti rentas negara.
Keadaan ini menjadikan gerakan tersebut lebih strategik daripada sekadar satu bentuk bantahan simbolik. Ia mewujudkan pelbagai titik tekanan melalui institusi, penggubal dasar, rakyat dan suara hati masyarakat antarabangsa.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, Francesca Albanese, turut sering dikaitkan dengan flotila ini susulan penekanannya terhadap undang-undang antarabangsa, akauntabiliti kemanusiaan dan keperluan kerajaan bertindak secara konsisten terhadap Gaza.
Dalam Kongres Parlimen Global Sumud, perbincangan berkaitan flotila semakin tertumpu kepada persoalan akauntabiliti undang-undang dan perlindungan orang awam.
Beberapa hari kemudian, media antarabangsa melaporkan kenyataan Albanese yang mempersoalkan kesahihan tindakan Israel memintas serta merampas kapal flotila di perairan antarabangsa berhampiran Crete, sekali gus mengukuhkan kebimbangan berkaitan aspek perundangan dan kemanusiaan misi tersebut.
“Perkembangan teknologi digital dan perubahan generasi sedang mengubah cara isu keadilan global mendapat perhatian dan momentum. GSF adalah sebahagian daripada perubahan besar ini.
"Ia bukan institusi berpusat, tetapi telah menjadi platform yang dikenali ramai bagi mereka yang mahu menterjemahkan rasa prihatin kepada tindakan,” kata Prof Sivamurugan lagi.
Beliau turut menegaskan kepentingan suara yang berwibawa dalam membantu masyarakat memahami isu dengan lebih tepat, khususnya dalam era maklumat bergerak pantas dan persepsi mudah mengatasi fakta.
“Suara yang kredibiliti membantu mengukuhkan wacana. Mereka menyediakan konteks, bukti dan analisis kritikal supaya perbincangan tidak terhenti pada slogan semata mata, tetapi berkembang ke arah pemahaman yang lebih seimbang dan berasaskan fakta,” tambah beliau.
Dilihat secara lebih luas, GSF tidak seharusnya dianggap sekadar tindakan simbolik. Nilai sebenar gerakan ini terletak pada tekanan yang diwujudkan, perdebatan yang dibuka serta persoalan moral yang diketengahkan kepada kerajaan dan institusi antarabangsa.
Mesej utamanya jelas, akses kemanusiaan, keadilan dan akauntabiliti kekal sebagai tanggungjawab global dan prinsip antarabangsa perlu ditegakkan secara konsisten, bukannya secara terpilih. Kepentingan GSF juga terletak pada persoalan yang dibangkitkannya mengenai konsistensi norma antarabangsa dan akauntabiliti kemanusiaan.
Ia mencabar kredibiliti sistem antarabangsa yang sering bercakap tentang undang-undang antarabangsa tetapi dilihat lambat atau selektif dalam memberikan tindak balas terhadap Palestin. Gerakan ini membuka persoalan lebih besar tentang sejauh mana prinsip kemanusiaan diterapkan secara adil ketika konflik berlaku.
Persoalan sama ada gerakan seperti GSF mampu menghasilkan impak sebenar akan terus diperdebatkan. Namun, impaknya tidak boleh diukur semata-mata melalui hasil segera.
Nilainya juga terletak pada bagaimana ia membentuk kesedaran global, memastikan Palestin terus mendapat perhatian, menekan pembuat keputusan dan mengelakkan krisis tersebut tenggelam dalam bahasa diplomasi rutin.
Dalam landskap semasa, gerakan seperti GSF semakin menjadi platform solidariti rentas negara yang menonjol berkaitan isu Palestin.
Tanpa platform seperti ini, isu Palestin berisiko terus terperangkap dalam perbincangan berulang tanpa tekanan awam yang bermakna. Global Sumud Flotilla bukan sekadar tentang kapal, tetapi tentang mesej yang dibawanya.
Apabila institusi gagal bergerak, rakyat akan bangkit mengambil peranan dan tuntutan terhadap keadilan tidak menunggu. Dalam dunia yang semakin terbiasa dengan kelumpuhan tindakan antarabangsa, mesej ini wajar diberikan perhatian serius.
Keterlihatan berterusan gerakan seperti GSF mencerminkan realiti baharu bahawa mobilisasi rakyat semakin mengisi ruang yang ditinggalkan oleh diplomasi formal yang dianggap semakin tidak berkesan.
Marina Sulaiman dari Pasukan Komunikasi Global Sumud Flotilla












