Sebar berita palsu harga minyak, individu didenda RM4,000

18 Mei 2026, 2:06 PM
Sebar berita palsu harga minyak, individu didenda RM4,000

PUTRAJAYA, 18 MEI: Seorang individu didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah menyebarkan maklumat palsu berkaitan harga petrol dan diesel menerusi media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan Nur Irsalina Omar Kumar didakwa memuat naik hantaran yang disunting menyerupai kandungan rasmi Buletin TV3 melalui akaun Threads miliknya, “its.ellsaleena_” pada 31 Mac lepas.

"Hantaran tersebut mengandungi maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api. Tindakan itu telah mengelirukan orang ramai serta mencetuskan kegusaran awam berhubung isu kos sara hidup," menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Irsalina, yang membayar denda itu, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya.

Menurut SKMM, penyebaran maklumat palsu khususnya yang melibatkan isu kepentingan awam boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi dan menggunakan platform dalam talian secara bertanggungjawab.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.