Universiti perlu hasilkan inovasi berimpak kepada industri, masyarakat

18 Mei 2026, 1:00 PM
Universiti perlu hasilkan inovasi berimpak kepada industri, masyarakat

PUTRAJAYA, 18 MEI: Universiti perlu menjadi tempat yang mampu melahirkan inovasi bernilai tinggi dan diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk masyarakat serta industri, bukan sekadar menghasilkan penyelidikan yang terhenti di makmal atau jurnal akademik semata-mata.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata banyak hasil penyelidikan tempatan mempunyai potensi tinggi untuk diketengahkan namun berdepan cabaran dari sudut pembiayaan, sokongan strategik dan akses kepada ekosistem pelaburan.

"Universiti perlu memainkan peranan lebih besar dalam menghasilkan inovasi yang mampu memberi impak kepada ekonomi dan masyarakat," menurutnya dalam kenyataan selepas menghadiri program "Opening Access to Capital: Roundtable for Universities and Venture Capitalists" di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Naib Canselor UPM Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata pihaknya komited memperkukuh budaya inovasi dan tadbir urus universiti bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada industri serta masyarakat.

Program anjuran UPM bersama dengan Persatuan Modal Swasta Malaysia itu membuka ruang kerjasama lebih luas antara universiti dan pelabur sekali gus menjadi persediaan menjelang Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti 2026.

Program itu menjadi platform pertemuan antara wakil universiti, pelabur modal teroka dan penggubal dasar bagi membincangkan usaha mempercepat akses pembiayaan selain membantu hasil penyelidikan universiti berkembang ke pasaran industri serta antarabangsa.

-- BERNAMA

TAG: Zambry Abdul Kadir, inovasi, penyelidikan, makmal, impak

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.