Malaysia masih kekurangan tenaga pakar dalam bidang arborikultur, hanya kira-kira 180 doktor pokok bertauliah direkodkan di seluruh negara. Sekitar 70 peratus daripada jumlah tersebut berkhidmat dalam sektor awam dan baki berada di lapangan.
Sedangkan bidang kajian pokok dan perhutanan menawarkan dimensi kerjaya yang luas sesuai untuk mereka yang cintakan alam sekitar.
Biasanya bidang berkaitan pokok sinonim dengan gelaran 'Doktor Pokok' atau arboris bermula dengan kursus dalam bidang perhutanan (forestry), arborikultur, atau perhutanan bandar (urban forestry) seterusnya pensijilan arboris.
Lebih membimbangkan, tidak semua tenaga mahir di lapangan bekerja sepenuh masa dan situasi ini menunjukkan jurang besar antara keperluan dan kapasiti tenaga kerja dalam penjagaan serta pengurusan pokok.
Pakar arboris Saifful Pathil berkata untuk menjadi doktor pokok bertauliah, calon perlu menduduki peperiksaan yang menggunakan modul disediakan oleh Persatuan Arborikultur Antarabangsa (ISA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Sebelum itu, calon juga wajib mengikuti kursus Program Pensijilan Arboris yang dianjurkan oleh Persatuan Arboris Malaysia.
“Markah lulus ditetapkan pada 76 peratus dan ramai calon gagal mencapainya. Bila mereka gagal, perlu duduki semula, ramai kawan-kawan saya berputus asa nak mengambil semula.
“Mereka ada ilmu, tetapi tidak boleh terjemah kepada pelaksanaan idea pengurusan pokok sehingga tidak mampu menjawab soalan yang dikemukakan,” katanya kepada Media Selangor.
Bagaimanapun, kos peperiksaan yang tinggi sekitar RM78,000 turut menjadi halangan utama untuk mengulang peperiksaaan ekoran beban kewangan dan kurang motivasi.
Sebagai doktor pokok, setiap keputusan untuk menebang atau menilai keadaan pokok perlu disokong dengan hujah yang kukuh serta penilaian risiko yang teliti.
Selain itu, mereka turut menilai pemilihan jentera dan alatan yang sesuai serta faktor cuaca supaya keselamatan pekerja terjamin.
A) Syarat menduduki peperiksaaan untuk jadi arboris:
berumur 18 tahun ke atas
mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman kerja
latar belakang pendidikan dalam bidang seperti pertanian, perhutanan atau landskap di mana-mana institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta
mengikuti kursus pensijilan program pensijilan arboris
lulus peperiksaan sebelum ditauliahkan
B) Ada dua kategori utama penugasan arboris:
Perunding arboris - Membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) merangka polisi pengurusan pokok, termasuk penjagaan, pembersihan dan penyelenggaraan pokok di kawasan perumahan serta tepi jalan.
Arboris - Melaksanakan kerja teknikal di lapangan seperti memanjat dan mencantas pokok.
C) Tiga tahap pemeriksaan pokok
Am – Pemeriksaan secara umum tanpa penggunaan peralatan
Asas – Pemeriksaan individu pada setiap pokok dengan penilaian berbeza mengikut keadaan
Lanjutan – Menggunakan teknologi canggih seperti Resistograph Machine dan Picus Tomograph untuk mengimbas struktur dalaman pokok, biasanya bagi pokok bernilai tinggi yang ditanam pemimpin negara seperti perdana menteri atau mempunyai nilai warisan
Peluang kerjaya
Doktor pokok
Pegawai hutan
Perunding pokok bandar
Penyelidik perhutanan
Tawaran Pengajian
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Kursus sarjana sains perhutanan (kepujian) untuk pengajian 4 tahun
Belajar pengurusan hutan, tekologi, pemeliharaan pokok, teknologi perhutanan
Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Kursus ijazah sarjana muda sains perhutanan (perladangan hutan dan agroperhutanan) & (teknologi dan industri kayu) untuk pengajian 4 tahun
Belajar tentang penanaman pokok, agroforestry, pengurusan ladang hutan
Ada fakulti khas perhutanan tropika










