HULU LANGAT, 18 MEI: Projek tebatan banjir Sungai Hulu Langat bernilai RM512 juta dijangka bermula pada suku pertama tahun depan selepas pelantikan kontraktor.
Pelaksanaan projek itu sekali gus memberi harapan kepada penduduk untuk mengatasi masalah banjir berulang di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Wira Johan Abd Aziz berkata perkara itu dimaklumkan pihak perunding dalam taklimat kemajuan projek yang diadakan minggu lalu.

“Kalau dah mendalamkan sungai dan ada kolam takungan, saya yakin ia dapat mengurangkan banjir,” katanya pada Majlis Serahan Sumbangan Bencana Banjir DUN Dusun Tua di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, hari ini.
Menurutnya, beberapa kawasan di Hulu Langat kini berdepan risiko banjir kilat selepas hujan lebat antara 30 minit hingga sejam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berkata pihaknya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengadakan taklimat minggu lalu bagi meneliti perkembangan projek tebatan banjir Sungai Langat.
“Minggu lepas kita panggil pihak JPS untuk memberi taklimat berkaitan kemajuan projek tebatan banjir Sungai Langat,” katanya.
Beliau berkata projek tersebut kini di peringkat reka bentuk dan melibatkan pembinaan tembok, kolam takungan serta pelebaran sungai di beberapa lokasi bagi mengurangkan risiko banjir.

Penduduk Batu 16 Dusun Tua, Suhairi Talib, 54, berharap projek itu dapat mengurangkan kejadian banjir yang kerap melanda kawasan berkenaan.
Katanya, air naik dengan cepat ketika banjir sebelum ini menyebabkan banyak barangan rumah termasuk peralatan dapur tidak sempat diselamatkan.
“Memang kami berharap projek tebatan banjir ini dapat kurangkan masalah banjir yang kerap berlaku di sini. Setiap kali hujan kami bimbang banjir akan berlaku lagi,” katanya.

Bagi Norzalina Mohamad, 57, dari Taman Damai Batu 18, kerja pembersihan selepas banjir lumpur menjadi cabaran terbesar penduduk.
“Pernah dalam seminggu tiga kali banjir. Bila banjir lumpur berlaku, ambil masa seminggu untuk bersihkan rumah. Sudah tentu penduduk mengharapkan penyelesaian jangka panjang untuk atasi isu banjir,” katanya.

Penduduk Batu 17 Dusun Tua, Faizal Wahid, 45, pula berkata bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu meringankan beban selepas banjir.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban selepas banjir yang kami alami. Cuma, kita berharap projek tebatan ini akan mengurangkan risiko banjir di kawasan ini,” katanya.









