52 kapal Global Sumud Flotilla kini dalam zon berisiko tinggi ke Gaza

17 Mei 2026, 3:09 PM
52 kapal Global Sumud Flotilla kini dalam zon berisiko tinggi ke Gaza

SHAH ALAM, 17 MEI: Sebanyak 52 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kini telah memasuki perairan antarabangsa pada jam 7:30 malam waktu Malaysia dan kini dilaporkan berada dalam zon operasi berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Dato’ Sani Araby Alim Araby memaklumkan semua kapal berkenaan berlepas dari Adrasan, Turkiye pada jam 1 petang waktu Malaysia menuju ke Gaza.

Dalam masa yang sama, katanya, Global Sumud Land Convoy juga sudah memulakan perjalanan dari Libya pada 15 Mei lalu dan kini sedang mara melalui laluan darat menuju ke Rafah.

“Konvoi ini merupakan sebahagian daripada gerakan solidariti rakyat antarabangsa yang bergerak seiring dengan GSF di laut bagi menembusi sekatan serta menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Global Sumud Land Convoy melibatkan lebih 200 peserta daripada lebih 25 negara, dengan lebih 30 buah kenderaan termasuk 7 ambulans, lori logistik dan rumah bergerak yang membawa bekalan perubatan serta bantuan penting untuk Gaza,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, SNCC mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati untuk menggandakan usaha menyebarkan fakta dan sejarah yang sahih, menangkis propaganda jahat rejim serta meningkatkan kesedaran awam melalui semua platform media.

Menurutnya, SNCC turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan demi keselamatan seluruh delegasi misi serta kejayaan usaha pembebasan Gaza.

“SNCC menegaskan bahawa setiap penyebaran maklumat hendaklah sentiasa berpandukan sumber yang sahih dan berautoriti,” katanya.

Layari portal rasmi tanya.sumudnusantara.com untuk sebarang pertanyaan rasmi berkaitan misi dan Palestin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.