BALIK PULAU, 17 MEI: Kerajaan belum membincangkan sebarang cadangan untuk mewujudkan klasifikasi baharu melibatkan kumpulan berpendapatan tinggi setakat ini.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sebaliknya kerajaan akan memberi fokus kepada penambahbaikan inisiatif BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) sedia ada.
“Kami (kerajaan) tidak membincangkan apa-apa untuk klasifikasi T20, kita tidak bincang lagi, jadi saya tidak tahu macam mana yang (isu) T20 ini keluar.
“Pendekatan kita ialah untuk melihat penggunaan diesel untuk seluruh negara, kita menggunakan pendekatan yang dibuat dalam BUDI Diesel kerana kita merasakan sistem yang ada itu cukup lengkap dan adil untuk semua orang dan kita akan memperluas ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Blok Tambahan Kelas Prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Wan Hashim Wan Rahim.
Mengulas mengenai harapan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar kerajaan mempertimbangkan semula pemberian subsidi bahan api bulanan 300 liter bawah BUDI95 kepada warga pendidik, Amir Hamzah berkata kerajaan perlu mengambil kira keadaan semasa pasaran minyak global serta beban subsidi yang ditanggung.
Beliau berkata konflik di Asia Barat telah memberi tekanan kepada bekalan minyak dunia, sekali gus menyebabkan peningkatan kos subsidi kerajaan yang melonjak daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada hampir RM7 bilion pada Mac lepas, sebelum menurun kepada hampir RM3.5 hingga RM4 bilion kebelakangan ini.
Katanya pendekatan kerajaan kini fokus untuk memastikan bekalan bahan api mencukupi dan pada masa sama menggalakkan penggunaan secara berhemat.
“Kita selaras semula kuota daripada 300 liter kepada 200 liter, yang lebih penting kita kurangkan risiko kuota yang digunakan dan inilah pendekatan yang baik kerana ia bagi isyarat untuk orang menggunakan minyak (petrol) dengan berhemat serta mengurangkan beban subsidi kepada kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kini perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) boleh memohon pembiayaan melalui Kemudahan Kestabilan Perusahaan, Kecil dan Sederhana (SME SRF) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM5 bilion.
Katanya PMKS yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM750,000 dengan kadar faedah atau keuntungan maksimum sebanyak 3.7 peratus setahun.
Jumaat lepas, Presiden NUTP Aminuddin Awang berharap kerajaan mempertimbangkan semula pemberian subsidi bahan api bulanan sebanyak 300 liter kepada warga pendidik sempena sambutan Hari Guru kerana terdapat guru yang menggunakan kuota subsidi BUDI95 individu untuk urusan rasmi.







