Tarik subsidi petrol T20 perlu data tepat, bukan sekadar gaji kasar - pakar

13 Mei 2026, 3:00 AM
Tarik subsidi petrol T20 perlu data tepat, bukan sekadar gaji kasar - pakar
Tarik subsidi petrol T20 perlu data tepat, bukan sekadar gaji kasar - pakar

SHAH ALAM, 13 MEI: Penarikan subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) perlu dibuat secara teliti dan tidak boleh ditentukan berdasarkan pendapatan kasar semata-mata.

Ketua Kluster Mikroekonomi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata penilaian kelayakan subsidi perlu mengambil kira kos sara hidup sebenar termasuk lokasi tempat tinggal, jarak perjalanan ke tempat kerja, jumlah tanggungan dan faktor demografi.

Menurut beliau, walaupun langkah rasionalisasi subsidi seperti cadangan penarikan subsidi BUDI95 adalah wajar, terdapat sebahagian golongan T20 yang masih berdepan tekanan kewangan tinggi terutama di kawasan bandar.

"Memang langkah ini (penarikan subsidi) adalah satu langkah daripada rasionalisasi subsidi sebab tujuan subsidi dibuat pun untuk memastikan bahawa yang betul-betul layak sahaja menerimanya.

"Namun, golongan yang dilihat sebagai T20 mungkin sebenarnya turut berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi. Sebab itu penilaian kelayakan subsidi ini perlu dibuat lebih tepat dan menyeluruh.

"Kita bimbang golongan yang kita rasa dia adalah T20 tetapi sebenarnya hanya bergantung kepada pendapatan kasar semata-mata," katanya kepada Media Selangor.

Ketua Kluster Mikroekonomi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustazar Mansur.

Beliau turut menegaskan keperluan mewujudkan sistem data bersepadu melibatkan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan proses penyasaran subsidi dapat dilaksanakan secara lebih adil dan tepat.

"Jadi, kita harapkan dengan maklumat bersepadu yang pernah dicadang sebelum ini diwujudkan melibatkan pelbagai agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Bagi saya data bersepadu perlu dilakukan segera supaya subsidi ditanggung kerajaan terutamanya ketika waktu krisis ini dapat dikurangkan bebannya," katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang meneliti cadangan menarik subsidi bahan api bagi golongan berpendapatan tinggi termasuk kumpulan T15 dan T20.

Beliau berkata cadangan itu telah dibentangkan beberapa bulan lalu oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican dan kini berada di peringkat akhir penelitian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.