Hasrat BN, HARAPAN Johor tanding semua kerusi tidak jejas kerjasama kerajaan Persekutuan

17 Mei 2026, 8:44 AM
Hasrat BN, HARAPAN Johor tanding semua kerusi tidak jejas kerjasama kerajaan Persekutuan

JOHOR BAHRU, 17 MEI: Keputusan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor yang masing-masing berhasrat bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak menjejaskan kerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Komunikasi HARAPAN Datuk Fahmi Fadzil berkata pendirian yang dinyatakan oleh BN dan HARAPAN Johor itu merupakan pandangan di peringkat negeri dan tidak memberi kesan kepada hubungan kerjasama sedia ada.

“Saya percaya kita tunggu dan dengar pandangan daripada pimpinan utama di peringkat HARAPAN pada petang nanti,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen HARAPAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.

Sementara itu ketika ditanya sama ada terdapat usaha atau petanda bahawa BN mungkin mahu berunding dengan HARAPAN, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Mungkin, mungkin, ya,” katanya ringkas.

Semalam, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan keputusan untuk bertanding di kesemua kerusi DUN, disusuli Pengarah PH Johor Aminolhuda Hassan yang membuat pengumuman sama ketika berucap pada konvensyen berkenaan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata HARAPAN bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Persidangan Dewan Negeri Khas yang dilaporkan akan diadakan pada 24 Jun depan.

Mengulas mengenai Konvensyen HARAPAN 2026 yang bertemakan "Tekad MADANI, Harapan Rakyat" itu Fahmi berkata ia berjalan lancar dengan jumlah ahli, perwakilan dan pimpinan yang hadir setakat ini dianggarkan melebihi 8,000, mengatasi sasaran 5,000 orang.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat utama dan merasmikan kemuncak konvensyen itu pada petang ini.

Antara pemimpin yang dijangka turut memberi ucapan ialah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Agung HARAPAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.