JOHOR BAHRU, 17 MEI: Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) 2026 yang berlangsung hari ini merupakan platform terbaik bagi anggota parti gabungan itu merangka formula dan rekayasa baharu bagi menjamin masa depan negara yang lebih gemilang.
Pengarah Konvensyen HARAPAN 2026 Datuk Fahmi Fadzil berkata penganjuran semula himpunan itu selepas empat tahun memberi ruang kepada perwakilan untuk mengumpulkan idea serta tenaga demi kepentingan rakyat Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata konvensyen tersebut turut menjadi medan penting untuk menilai pencapaian Kerajaan MADANI yang kini semakin membuahkan hasil positif dan tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak.
“Konvensyen ini adalah peluang yang terbaik untuk kita mengumpulkan tenaga, mengumpulkan idea, mempersembahkan cadangan, formula dan rekayasa yang perlu kita usahakan bagi menjamin masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Konvensyen HARAPAN 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.
Fahmi turut menekankan tumpuan konvensyen kali ini merangkumi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.
“Kita sama-sama akan mendengar mesej, inti pati, semangat yang ingin Pengerusi PH (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berikan dan titipkan kepada kita.
"Bukan sahaja untuk pilihan raya umum, (tetapi juga) pilihan raya negeri yang mungkin bakal berlangsung tidak lama lagi, sama ada kita berhasrat untuk bertanding berapa banyak kerusi, semua atau sebahagian,” katanya.
Selain itu, beliau menyeru semua perwakilan untuk memperkukuh iltizam dalam mendirikan sebuah negara yang adil selain membawa pulang semangat baharu ke peringkat akar umbi selepas tamat konvensyen.
Bertemakan "Tekad MADANI, Harapan Rakyat", Konvensyen PH 2026 menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan seluruh negara.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat utama dan merasmikan kemuncak konvensyen itu pada sebelah petang.
Antara pemimpin yang akan turut memberi ucapan ialah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.








