JOHOR BAHRU, 17 MEI: Pelaburan melebihi RM80 bilion serta lebih 60,000 peluang pekerjaan baharu yang direkodkan Selangor tahun lalu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pendekatan pentadbiran dan strategi ekonomi negeri itu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pencapaian itu membolehkan Selangor kekal sebagai negeri yang menawarkan peluang pekerjaan terbesar setiap tahun.
“Kejayaan ini tidak bergantung dengan jumlah pelaburan sahaja. Sebaliknya pelabur percaya kepada sistem dibentuk (negeri), ada pengimbangan antara semak dan imbang. Bukan dalam sidang dewan sahaja tetapi dalam jawatan kuasa, pemerhatian dan pendekatan-pendekatan lain.
“Kerajaan juga melakukan penukaran serta perubahan yang dipanggil strategi ekonomi. Kalau satu masa dahulu, pendekatan ini dianggap populis tetapi kita berani demi bantu golongan memerlukan dan beri peluang kepada mereka yang berpotensi,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di sini hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata walaupun beberapa langkah diambil Kerajaan Negeri sebelum ini dianggap tidak popular dan membebankan, namun ia berjaya meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Sebagaimana kerajaan memperkenalkan penyusunan balik subsidi BUDI, saya juga menyusun semula subsidi air percuma di Selangor.
“Alhamdulillah, kita mampu memberikan kesejahteraan dan penjimatan dikembalikan menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah dan Sumbangan Tunai Rahmah,” katanya.
Dato’ Menteri Besar itu berkata pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang turut menjadi contoh kepada Putrajaya dalam usaha memastikan negara terus cemerlang.
Selain itu katanya, beberapa dasar yang diperkenalkan termasuk Enakmen Kebebasan Maklumat turut menjadi rujukan negeri lain kerana berjaya mengubah paradigma pentadbiran.
“Antara yang paling jelas adalah keupayaan kita mengubah fungsi Dewan Negeri. Di Selangor, kita ada SELCAT (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan).
“Ternyata kita telah buktikan dengan perubahan tersebut, yang pernah ditohmah atau dianggap punca kepada kemunduran masa depan dan menimbulkan ketidakharmonian,” katanya.










