Selangor teliti loji penyahgaraman air laut, sumber alternatif bekalan air Pulau Indah

15 Mei 2026, 12:30 PM
Selangor teliti loji penyahgaraman air laut, sumber alternatif bekalan air Pulau Indah
Selangor teliti loji penyahgaraman air laut, sumber alternatif bekalan air Pulau Indah
Selangor teliti loji penyahgaraman air laut, sumber alternatif bekalan air Pulau Indah

SHAH ALAM, 15 MEI: Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan pembangunan loji penyahgaraman air laut sebagai sumber alternatif bagi memperkukuh bekalan air mentah ke Pulau Indah, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu dibentangkan oleh delegasi Xianda (Tianjin) Seawater Resources Development Co. Ltd dari China yang mempunyai pengalaman dalam pembangunan serta pembekalan air bersih menggunakan teknologi penyahgaraman air laut.

"Syarikat ini mempunyai pengalaman luas dalam membina serta membekalkan air bersih di beberapa wilayah di China melalui teknologi penyahgaraman air laut.

"Kepakaran dan teknologi yang dibawa boleh dipertimbangkan sebagai antara sumber bekalan alternatif dan tambahan kepada sistem bekalan air sedia ada di Selangor," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Amirudin berkata Pulau Indah dijangka memerlukan kapasiti bekalan air yang lebih tinggi pada masa akan datang sejajar pembangunan pesat kawasan itu, khususnya sektor industri, logistik dan pelabuhan.

Justeru, beliau berkata penerokaan teknologi baharu serta sumber air mampan amat penting bagi menjamin keselamatan bekalan air negeri dalam jangka panjang.

"Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk meneliti pendekatan inovatif dan mampan demi memastikan keperluan rakyat serta pembangunan ekonomi Selangor terus dapat dipenuhi dengan baik," katanya.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur, Dato' Ir Izham Hashim memaklumkan Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan pembinaan loji penyahgaraman air laut sebagai langkah strategik bagi mempelbagaikan sumber bekalan air jangka panjang di Selangor.

Bercakap pada Sidang Dewan Negeri Selangor pada 22 April lalu, beliau berkata pendekatan itu antara usaha Selangor bagi memastikan jaminan sumber air mencukupi untuk masa hadapan dan tidak hanya bergantung kepada sumber air permukaan semata-mata.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.