Permohonan TUNAS kini dibuka, bantu ringankan yuran tadika anak

13 Mei 2026, 8:51 AM
Permohonan TUNAS kini dibuka, bantu ringankan yuran tadika anak

SHAH ALAM, 13 MEI: Permohonan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) kini dibuka kepada ibu bapa yang layak bagi membantu mengurangkan beban kos pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi skim itu, bantuan RM50 sebulan akan disalurkan kepada tadika terpilih yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Selangor, Perpaduan dan KEMAS.

“Antara syarat permohonan adalah anak berumur lima dan enam tahun, pendapatan isi rumah bawah RM5,000 dan anak dihantar ke pusat tadika berdaftar serta terbuka kepada ibu bapa yang bekerja dan tidak bekerja selain merupakan pengundi berdaftar di Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata ibu bapa juga diingatkan supaya memastikan semua dokumen sokongan disediakan dengan lengkap bagi melancarkan proses permohonan yang boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang tunas.yawas.com.my

Antara dokumen diperlukan ialah sijil lahir anak, kad pengenalan pemohon dan pasangan, salinan semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya, penyata gaji terkini serta slip pendaftaran tadika atau resit bayaran yuran.

Semua dokumen perlu dimuat naik ke dalam sistem ketika permohonan dibuat dan pemohon tidak perlu menghantar salinan fizikal ke pejabat Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Menerusi Belanjawan Selangor 2026, Amirudin mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pelaksanaan program TUNAS dalam usaha memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan awal yang berkualiti.

Sejak diperkenalkan pada 2012, skim TUNAS telah memberi manfaat kepada 21,236 ibu bapa di seluruh Selangor sehingga 2023.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.