Mahasiswa sahut cabaran era AI, tingkat kemahiran untuk kekal relevan

18 Mei 2026, 1:00 AM
Mahasiswa sahut cabaran era AI, tingkat kemahiran untuk kekal relevan
Mahasiswa sahut cabaran era AI, tingkat kemahiran untuk kekal relevan

SHAH ALAM, 18 MEI: Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja mengubah landskap pembelajaran di institusi pengajian tinggi, malah menuntut mahasiswa meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Mahasiswa Pengajian Media Universiti Malaya dan pempengaruh media sosial, Sofea Softie, berkata AI banyak membantu mempercepatkan proses pembelajaran selain menjadi pemangkin produktiviti dalam bidang pengajiannya.

Menurutnya, jika sebelum ini beliau perlu meluangkan masa berhari-hari untuk mencari dan meneliti maklumat melalui pelbagai sumber, penggunaan AI kini membolehkan proses itu dilakukan dalam tempoh beberapa minit sahaja.

“AI membantu saya mendapatkan, menapis dan menganalisis maklumat dengan lebih pantas. Dalam kerjaya sebagai pencipta kandungan pula, teknologi ini memudahkan proses penghasilan kandungan untuk audiens saya.

“Namun, mahasiswa tidak boleh terlalu bergantung kepada AI. Kita masih perlu mencari pengalaman dan mengasah kemahiran insaniah supaya mampu menonjolkan diri dalam dunia yang semakin mencabar,” kata perunding imej bertauliah itu.

Mahasiswa Pengajian Media Universiti Malaya dan pempengaruh media sosial, Sofea Softie berkata AI banyak membantu mempercepatkan proses pembelajaran selain menjadi pemangkin produktiviti dalam bidang pengajiannya.

Sependapat dengannya, Timbalan Presiden Pertubuhan Perdana Nasional, Muhammad Mukmin Nusril, 24, berpandangan AI menjadi alat penting dalam meningkatkan produktiviti mahasiswa, terutama dalam proses pencarian maklumat, analisis data dan penghasilan penulisan akademik.

Katanya, mahasiswa bukan sahaja dituntut untuk menimba ilmu, malah perlu bijak menilai kesahihan serta ketepatan maklumat yang dijana teknologi tersebut.

“AI bukan pengganti manusia sepenuhnya, sebaliknya alat untuk membantu meningkatkan produktiviti. Mahasiswa perlu menyesuaikan diri dengan teknologi ini dan belajar menggunakannya secara beretika serta strategik.

“Pada masa depan, kelebihan akan berpihak kepada mereka yang tahu memanfaatkan AI dengan baik, bukannya mereka yang melihat teknologi ini sebagai ancaman,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa cabaran terbesar mahasiswa ketika ini ialah kadar perubahan teknologi yang terlalu pantas sehingga menuntut mereka sentiasa bersedia untuk belajar semula dan meningkatkan kemahiran diri.

Dalam pada itu, mahasiswa dan cef selebriti, Danish Harraz, 19, berkata AI sememangnya memudahkan urusan pembelajaran serta pengurusan masa, namun penggunaan tanpa batas boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan diri.

Menurutnya, kebergantungan keterlaluan kepada AI boleh menjejaskan keupayaan berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah, sedangkan kedua-dua kemahiran itu amat penting dalam melahirkan graduan yang kompetitif.

“Mahasiswa perlu bijak mendisiplinkan diri dan menggunakan AI secara beretika. Jangan sampai teknologi ini menjejaskan kualiti pembelajaran serta kredibiliti diri sendiri,” katanya.

Jelasnya, dalam era digital yang berkembang pantas, kemahiran teknikal semata-mata tidak lagi mencukupi, sebaliknya mahasiswa perlu menguasai kemahiran hibrid termasuk komunikasi, literasi digital dan keupayaan menyesuaikan diri.

Cef Selebriti Danish Harraz, 19, mahasiswa yang aktif dalam aktiviti kebajikan. Beliau mengajar kanak-kanak Orang Asli kaum Mahmeri membuat biskut ketika Program Jom Masuk Kampung di Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 29 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Selangor turut menegaskan pembangunan bakat digital dan penguasaan AI dalam kalangan mahasiswa penting bagi memastikan negeri itu kekal sebagai peneraju ekonomi dan teknologi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata Selangor memerlukan bakat muda berkemahiran tinggi selaras dengan bidang pengajian masing-masing bagi menyokong pembangunan masa depan negeri itu.

Menurutnya, mahasiswa juga perlu menambah nilai diri dan meningkatkan keupayaan supaya mampu memenuhi keperluan industri yang semakin dipacu teknologi AI.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.