SYDNEY, 10 MEI: Pengalaman ibu menjadi mangsa penipuan dalam talian dua tahun lalu sehingga mengalami kerugian RM70,000 menjadi pencetus idea buat pemenang Young Innovator Venture Challenge menghasilkan projek TrustDulu, iaitu platform risikan penipuan dalam talian sebelum transaksi dilakukan.
Mujahid Md Rosli, 23, bersama rakan kongsinya, Muhammad Zarif Hilman Zamzuri, 24, mengambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan kertas kerja projek berkenaan yang membantu memperkukuh kepercayaan digital dan mencegah penipuan kewangan di seluruh negara.
Penuntut tahun akhir jurusan sains komputer di University of Queensland, Australia itu berkata mereka bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan SemakmulePDRM bagi mendapatkan fakta serta data berkaitan.
“Waktu itu, emak saya kena scam selepas menyertai satu kumpulan WhatsApp pasaran saham. Dia dijanjikan bayaran semula, namun malangnya kumpulan itu disekat dan wang lesap begitu sahaja.
“Menyedari kebimbangan itu, kami mencadangkan penghasilan kertas kerja berkaitan platform risikan penipuan yang boleh mengesan dan mengurangkan kes scammer di Malaysia. Idea ini menarik untuk diketengahkan, apatah lagi kes terbabit meningkat saban tahun,” katanya.
Sementara itu, Zarif berkata menerusi platform berkenaan, rakyat Malaysia boleh menyemak akaun bank dan nombor telefon sebelum melakukan transaksi melalui bot WhatsApp atau integrasi aplikasi perbankan.
Menurut pelajar tahun dua jurusan kejuruteraan perisian di institusi sama itu, TrustDulu turut menyediakan skor risiko masa nyata sekali gus membantu mengelakkan orang ramai daripada terjerat dengan penipuan dalam talian.
“Sehingga hari ini, masih tiada solusi tepat untuk menangani kegiatan itu. Jadi, kami tampil dengan solusi ini supaya orang ramai boleh mengenal pasti sama ada nombor akaun dan telefon itu scammer atau sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, kedua-duanya berhasrat bekerjasama dengan bank tempatan termasuk Wavpay, syarikat fintech Malaysia yang menawarkan perkhidmatan e-dompet dan pembayaran digital, bagi membangunkan platform berkenaan demi kepentingan orang ramai.
Mereka juga berharap ada pihak yang dapat menyalurkan dana bagi membina platform itu selain mahu mengintegrasikan TrustDulu dengan aplikasi perbankan di negara Asia Tenggara seperti Thailand, Filipina dan Vietnam.
Terdahulu, mereka diumumkan sebagai johan Young Innovator Venture Challenge menerusi pembentangan kertas kerja bertajuk TrustDulu: Malaysia’s Pre-Transaction Scam Intelligence Platform.
Kemenangan itu membolehkan mereka meraih hadiah wang tunai AUD1,750 (RM4,973.47), sijil penghargaan serta peluang bimbingan daripada Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).
Seramai 15 peserta berentap dalam sesi itu sempena Konvensyen Mahasiswa Selangor (KOMSEL) Luar Negara Australia 2026 di Park Royal Darling Harbour, di sini, malam ini.









