SHAH ALAM, 18 MEI: Program HajiKids 2.0 dilihat mampu membantu mengurangkan stigma terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi pendekatan inklusif dan pendedahan awal kepada kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Anak Istimewa Selangor (YANIS) Ar Kamarul Hisyam Yeop Hashim berkata kerjasama bersama Warnakala Studios menerusi platform Didi & Friends diyakini dapat memperluas kesedaran masyarakat terhadap golongan berkenaan.
Menurutnya, capaian besar kandungan digital syarikat terbabit mampu dimanfaatkan bagi memperkenalkan agenda inklusiviti kepada lebih ramai masyarakat terutama kanak-kanak.
"Mungkin ramai yang tanya kenapa Warnakala Studios. Dalam kita punya kajian, penonton di Youtube 6.57 bilion. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana capaian itu boleh diperkenal ataupun inklusifkan orang kurang upaya itu.
"Jadi dengan kerjasama ini kita harap kita dapat mengurangkan stigma terhadap orang kurang upaya itu," katanya selepas menghadiri program HajiKids 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam kelmarin.
Tambahnya, pendekatan itu penting bagi mendidik kanak-kanak supaya lebih terbuka dan inklusif terhadap golongan OKU sejak usia muda.
"Kita tak nak nanti mereka tengok orang berupaya itu sebagai satu halangan untuk mereka bersama-sama. Itu pendekatan Kerajaan Negeri Selangor," katanya.
Kamarul berkata pihaknya turut merancang meneruskan kerjasama bersama animasi Didi & Friends bulan depan selain dalam perbincangan mereka bentuk maskot rasmi YANIS.
Sementara itu, Pegawai Pemulihan Perubatan (Carakerja) YANIS Nurul Husna Shuib berkata program simulasi haji itu memberi pengalaman pembelajaran lebih berkesan kepada anak istimewa.

Katanya, pendekatan pembelajaran secara eksperimen membantu peserta memahami konsep ibadah haji menerusi pengalaman sebenar termasuk pemakaian ihram, telekung dan simulasi tawaf.
"Jadi satu pengalaman yang sangat baik untuk murid-murid dan anak-anak istimewa ini lebih memahami konsep haji. Kemudian mereka dapat belajar mengikut arahan dan berinteraksi dalam komuniti lebih besar," katanya.
Menurutnya, seramai 35 kanak-kanak daripada Pusat YANIS serta 18 peserta Cerebral Palsy ditaja menyertai program berkenaan.
Nurul Husna turut mencadangkan penganjuran untuk lebih ramai anak istimewa pada masa akan datang sekali gus mengatasi ketakutan mereka untuk menyertai program besar.
"Kali ini kita menyediakan 'çalming room' sekiranya ada anak-anak yang ‘overwhelm’ ataupun ‘sensor overload’ untuk ruang mereka bertenang. Mungkin pada masa hadapan kita boleh besarkan dan tambah apa-apa sokongan,"katanya.
Sementara itu, ibu peserta Zarinah Ibrahim, 39, menyifatkan program berkenaan sebagai peluang buat anak istimewa merasai pengalaman seperti kanak-kanak lain.

"Bukan mudah nak buat program macam ini untuk anak-anak istimewa dan kami memang sangat gembira bila dijemput hadir. Sekurang-kurangnya anak kami dapat rasa macam anak lain juga," katanya.
Beliau yang mempunyai anak penghidap Cerebral Palsy berharap lebih banyak program melibatkan kanak-kanak normal turut dibuka kepada penyertaan anak istimewa pada masa hadapan.












