Dalam masyarakat moden hari ini, perbincangan tentang hak dan kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) semakin mendapat perhatian. Namun, Islam sebenarnya lebih awal meletakkan asas penghormatan terhadap manusia tanpa mengira keadaan fizikal, mental atau keupayaan seseorang.
Dalam kerangka Islam, golongan OKU bukan kelompok yang harus dipinggirkan atau dikasihani semata-mata, tetapi mereka ialah manusia yang memiliki kemuliaan, hak dan kedudukan yang wajib dipelihara.
Al-Quran menegaskan setiap manusia dimuliakan oleh Allah SWT. Firman Allah:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.” — Surah Al-Isra’, ayat 70.
Ayat ini menunjukkan kemuliaan manusia tidak bergantung kepada kesempurnaan anggota badan, rupa paras, kekuatan fizikal atau kemampuan tertentu.
Kemuliaan itu adalah anugerah asas daripada Allah kepada seluruh manusia. Justeru, menghina, meminggirkan atau mengabaikan hak golongan OKU bertentangan dengan semangat al-Quran.
Antara dalil yang sangat penting dalam isu ini ialah kisah Abdullah ibn Umm Maktum yang dirakamkan dalam Surah ‘Abasa.
Ketika Rasulullah SAW berdakwah kepada pembesar Quraisy, Abdullah ibn Umm Maktum datang meminta tunjuk ajar agama. Lalu Allah menegur Nabi SAW:
“Dia bermuka masam dan berpaling, kerana seorang buta datang kepadanya.” — Surah ‘Abasa, ayat 1-2.
Ayat ini mempunyai nilai kemanusiaan yang sangat besar. Walaupun Rasulullah SAW tidak berniat menghina sahabat tersebut, Allah tetap menegur Baginda demi mengangkat martabat seorang insan OKU. Ia memberi mesej nilai manusia di sisi Allah tidak diukur berdasarkan kekuatan fizikal atau kedudukan sosial.
Dalam hadis pula, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu.” — Riwayat Muslim
Hadis ini meruntuhkan budaya masyarakat yang menilai manusia berdasarkan penampilan dan kemampuan zahir.
Islam menilai manusia berdasarkan takwa, hati dan amal soleh. Oleh sebab itu, masyarakat Islam wajib membina budaya inklusif yang menghormati golongan OKU sebagai anggota masyarakat yang mempunyai peranan dan potensi tersendiri.
Dari sudut maqasid syariah pula, pembelaan terhadap golongan OKU sangat bertepatan dengan tujuan utama syariat Islam.
Antara maqasid yang utama ialah menjaga nyawa (hifz al-nafs), menjaga akal (hifz al-‘aql), menjaga maruah manusia (hifz al-‘ird) dan menjaga harta (hifz al-mal). Semua tujuan ini menuntut agar kebajikan OKU dipelihara secara menyeluruh.
Sebagai contoh, menjaga nyawa bukan sekadar memastikan seseorang hidup, tetapi memastikan kehidupannya bermaruah dan selamat.
Sedia kemudahan
Maka, penyediaan akses kesihatan, kemudahan awam mesra OKU, peluang pekerjaan dan pendidikan yang sesuai termasuk dalam tuntutan syariah. Begitu juga menjaga maruah manusia menuntut agar mereka tidak dijadikan bahan ejekan, diskriminasi atau dipinggirkan daripada kehidupan sosial.
Islam juga mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh manusia melalui kaedah-kaedah Usul al-Fiqh. Antara kaedah penting ialah: “Kesukaran membawa kepada kemudahan.”
Kaedah ini menjadi asas kepada pelbagai rukhsah (keringanan) dalam syariat. Golongan OKU diberikan kemudahan tertentu dalam ibadah mengikut kemampuan mereka.
Orang yang tidak mampu berdiri boleh solat duduk. Mereka yang sukar menggunakan air dibenarkan bertayamum. Mereka yang mempunyai kekurangan tertentu tidak dipertanggungjawabkan sesuatu di luar kemampuan mereka.
Allah SWT berfirman: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” — Surah Al-Baqarah, ayat 286.
Ayat ini menggambarkan syariat Islam dibina atas asas rahmat, kemampuan dan realiti manusia, bukannya kesukaran yang menindas. Oleh itu, masyarakat Islam juga wajib mencontohi pendekatan ini dalam urusan sosial dan pentadbiran.
Selain itu, terdapat satu lagi kaedah fiqh yang penting: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan.”
Kaedah ini memberi asas bahawa segala bentuk diskriminasi, pengabaian atau sistem yang menyusahkan OKU wajib diperbaiki.
Jika sesuatu bangunan tidak mempunyai akses kerusi roda sehingga menyukarkan urusan mereka, maka usaha menyediakan kemudahan tersebut menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan moral masyarakat.
Sejarah Islam juga menunjukkan golongan OKU tidak pernah disisihkan daripada peranan masyarakat.
Abdullah ibn Umm Maktum yang cacat penglihatan sendiri pernah dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai muazzin dan pemangku pentadbiran Madinah ketika baginda keluar bermusafir.
Ini menunjukkan Islam melihat kemampuan manusia berdasarkan potensi dan kelayakan, bukan semata-mata kekurangan fizikal.
Malangnya, sebahagian masyarakat hari ini masih melihat OKU dengan pandangan simpati yang pasif, bukan dengan semangat pemberdayaan.
Ada yang mengehadkan mereka daripada pendidikan, pekerjaan dan penglibatan sosial. Sedangkan Islam menuntut agar setiap insan diberi ruang untuk hidup bermaruah dan menyumbang kepada masyarakat.
Membela golongan OKU bukan sekadar kerja kebajikan, tetapi sebahagian daripada tuntutan agama dan amanah kemanusiaan. Ukuran sebenar tamadun sesebuah masyarakat bukan hanya pada pembangunan material, tetapi pada bagaimana mereka melayan golongan lemah dan memerlukan.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” — Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
Hadis ini menanam asas empati sosial yang sangat mendalam. Dalam membina masyarakat Islam yang adil dan rahmah, golongan OKU wajib diberikan perhatian, peluang dan penghormatan yang sewajarnya.
Kerana pada akhirnya, Islam datang bukan sekadar untuk mengatur ibadah ritual, tetapi untuk menegakkan keadilan dan memuliakan manusia seluruhnya.








