SHAH ALAM, 4 MEI: Cadangan penubuhan pusat jagaan harian untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendapat sambutan positif, namun aspek kemampuan bayaran menjadi keutamaan yang perlu diberi perhatian.
Rata-rata berpendapat kadar bayaran munasabah penting bagi memastikan akses tidak terhad kepada golongan berpendapatan tinggi sahaja, sebaliknya turut dinikmati kumpulan B40.
Perunding undang-undang, Amirah Anis Abdull Khalid, 35, mencadangkan agar perkhidmatan itu turut dipertimbangkan untuk ditawarkan secara percuma kepada golongan tidak berkemampuan.

“Yuran perlu berpatutan terutama untuk B40. Kalau boleh, percuma bagi yang benar-benar tidak mampu,” katanya kepada Media Selangor, sambil menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah positif.
Beliau turut menekankan keperluan kemudahan mesra warga emas dan OKU serta penjaga terlatih yang memiliki pengetahuan asas perubatan dan kemahiran mengurus situasi kecemasan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak memandang serong terhadap keluarga yang bergantung kepada khidmat berkenaan kerana kekangan kerja, kewangan dan kesihatan mental.
Sebelum ini pada 22 April, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Anfaal Saari memaklumkan perancangan menubuhkan Respite Care Wellness Hub sebagai pusat jagaan harian bagi menyokong penjaga warga emas dan OKU.
Menurutnya, ramai penjaga khususnya wanita kini menanggung tanggungjawab secara bersendirian sehingga berdepan tekanan.
Pelukis pelan, Sahrizan Sahdan, 46, menyokong inisiatif itu namun menegaskan yuran perlu kekal berpatutan memandangkan kekangan akses dan lokasi pusat jagaan sedia ada.

“Pusat sedia ada jauh dan sukar dicapai. Yuran boleh dikenakan tetapi mesti berpatutan serta disokong bantuan agensi seperti JKM,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kemudahan sokongan seperti pengangkutan, reka bentuk mesra warga emas dan program kemahiran berdikari untuk OKU.
Eksekutif pentadbiran, Nur Sakinah Amir Sankapillai, 25, pula berkata pusat itu penting bagi membantu golongan rentan yang tiada sokongan hidup stabil.

“Perlu sediakan makanan, tempat tinggal dan rawatan. Keluarga juga perlu terus terlibat dan berhubung,” katanya.
Sementara itu, juruteknik Eric Chan Siew Fai, 38, mencadangkan kadar yuran antara RM700 hingga RM800 sebulan, dan sehingga RM1,200 bagi penjagaan intensif.

Menurutnya, pusat jagaan bukan hanya membantu keperluan harian, tetapi juga mengurangkan kesunyian melalui interaksi sosial.
“Penjaga berpengalaman dan berempati lebih penting berbanding kemudahan semata-mata,” katanya.











