Iran jamin laluan selamat kapal Malaysia di Selat Hormuz

16 Mei 2026, 12:53 AM
Iran jamin laluan selamat kapal Malaysia di Selat Hormuz

NEW DELHI, 16 MEI: Iran memberi jaminan keselamatan kepada kapal Malaysia yang melalui Selat Hormuz dan tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap laluan kapal negara di perairan strategik itu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kapal Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah ketika melalui laluan berkenaan hasil kerjasama baik yang diberikan Tehran.

Menurut beliau, isu utama ketika ini ialah kesesakan luar biasa akibat jumlah kapal yang terlalu banyak menunggu untuk melalui Selat Hormuz sehingga menyebabkan kelewatan dan kerugian kepada syarikat perkapalan.

“Kapal Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah, namun jumlah kapal yang banyak menyebabkan kerugian apabila ada kapal tersangkut dan tersadai kerana memerlukan masa lebih lama untuk melalui Selat Hormuz,” katanya dalam sidang media di sini semalam, lapor Astro Awani.

Beliau berkata Malaysia sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Iran bagi memastikan keselamatan laluan kapal negara terus terjamin.

“Kita berhubung dengan Tehran dan mereka sudah memberikan lampu hijau, namun arahan itu juga perlu disampaikan kepada komander di lapangan supaya tidak berlaku jurang komunikasi,” katanya.

Mohamad berkata Malaysia tidak mahu berlaku insiden ‘friendly fire’ yang boleh mencetuskan masalah lebih besar kepada keselamatan kapal negara.

“Jadi, kita mahukan kepastian seratus peratus bahawa laluan itu benar-benar selamat untuk kapal kita,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata terdapat beberapa kawasan yang dianggap berbahaya selain faktor sebahagian kapal tidak menggunakan pendaftaran bendera Malaysia turut memerlukan perhatian lanjut daripada pihak berkuasa.

Bercakap di luar Mesyuarat Menteri Luar BRICS di New Delhi, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata Selat Hormuz kekal ditutup kepada musuh Tehran.

Namun katanya, kapal dari negara sahabat termasuk Malaysia masih boleh melalui laluan tersebut dengan selamat.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Iran akan membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz selepas perbincangan diadakan dengan pegawai negara itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.