WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penamatan operasi serangannya terhadap Iran, namun memberi amaran akan melancarkan tindak balas 'memusnahkan' sekiranya berlaku ancaman baharu ke atas perkapalan di Selat Hormuz.
Pengumuman itu dibuat Setiausaha Negara AS, Marco Rubio susulan perkembangan terkini ketegangan di laluan air strategik yang menjadi nadi perdagangan global.
Kenyataan tersebut hadir selepas pegawai tertinggi tentera AS memaklumkan pasukan negara itu kekal bersiap siaga untuk menyambung semula operasi tempur jika diarahkan, meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa.
Menurut Jeneral Dan Caine, Komando Pusat AS kekal “bersedia untuk menyambung semula operasi tempur berskala besar... jika diarahkan,” katanya kepada wartawan, lapor Berita Harian.
Dalam masa sama, Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran memberi amaran akan mengambil tindakan “tegas” terhadap mana-mana kapal yang didakwa menyimpang daripada laluan diluluskan di Selat Hormuz.
Bagaimanapun, Ketua Perunding Tehran menegaskan Iran belum mengambil sebarang tindakan susulan insiden di laluan perdagangan penting itu.
Situasi semakin tegang apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendakwa berjaya memintas peluru berpandu dan dron dari Iran untuk hari kedua berturut-turut.
Namun, dakwaan itu dinafikan sepenuhnya oleh Tehran. Komando Khatam al-Anbiya Iran menegaskan bahawa “angkatan bersenjata... tidak melancarkan sebarang operasi peluru berpandu atau dron.”
Ketegangan memuncak selepas laporan menyebut Iran melancarkan serangan ke arah pasukan AS, manakala Washington mendakwa menyerang enam bot Iran yang dianggap mengancam perkapalan komersial.
Presiden AS, Donald Trump turut menggesa Iran supaya “bertindak bijak” dan memilih jalan rundingan, sambil menegaskan beliau tidak mahu melihat lebih ramai rakyat Iran terkorban.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth menegaskan Washington tidak mencari konflik, namun memberi amaran sebarang serangan akan dibalas dengan kekuatan “luar biasa dan memusnahkan.”









