Hantavirus: Thailand perketat kawalan, klasifikasi sebagai penyakit berbahaya

15 Mei 2026, 11:15 AM
Hantavirus: Thailand perketat kawalan, klasifikasi sebagai penyakit berbahaya

BANGKOK, 15 MEI: Thailand mengklasifikasikan jangkitan hantavirus sebagai “penyakit berjangkit berbahaya”, sekali gus memberi kuasa kepada pihak berkuasa kesihatan untuk mengenakan langkah kuarantin dan pengasingan susulan kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap virus itu serta potensi risiko penularannya.

Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCDC) pada Jumaat meluluskan langkah itu yang meliputi kedua-dua Sindrom Pulmonari Hantavirus (HPS) dan Demam Berdarah dengan Sindrom Renal (HFRS).

Setiausaha Tetap Kesihatan Awam Dr Somruk Chungsaman berkata semua kes yang dikesan mesti dilaporkan dalam tempoh tiga jam, manakala siasatan perlu dimulakan dalam tempoh 12 jam, dengan kontak berisiko tinggi tertakluk kepada kuarantin sehingga 42 hari.

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan saranan pakar kesihatan yang berpendapat jangkitan hantavirus perlu diklasifikasikan sebagai penyakit berjangkit berbahaya berikutan tahap keseriusannya serta kemungkinan beberapa strain boleh menular daripada manusia kepada manusia.

“Penyakit ini juga merupakan kebimbangan global.

“Langkah ini bertujuan memastikan pihak berkuasa dapat bertindak balas dengan pantas dan sewajarnya selaras dengan risiko kesihatan awam yang semakin berkembang akibat virus ini,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat NCDC.

Di bawah draf pengumuman Kementerian Kesihatan Awam yang diluluskan jawatankuasa itu, pegawai kawalan penyakit diberi kuasa menjalankan siasatan dan melaksanakan langkah termasuk perintah pengasingan dan kuarantin bagi memperkukuh pemantauan serta usaha pembendungan.

Dr Somruk berkata simptom jangkitan hantavirus termasuk demam, menggigil, sakit kepala, sakit otot, keletihan, sakit perut, loya, muntah dan cirit-birit, manakala kes serius boleh menyebabkan radang paru-paru, kesukaran bernafas, kegagalan buah pinggang, renjatan dan kematian.

Beliau turut menggesa individu yang mempunyai sejarah terdedah kepada tikus atau baru melakukan perjalanan ke kawasan berisiko tinggi dan mengalami demam panas atau kesukaran bernafas supaya segera mendapatkan rawatan perubatan bagi diagnosis dan rawatan awal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.